Berangkat tiba hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

Berangkat tiba hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, selamat berangkat tiba di Vientiane, Lao bagi menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan yang akan berlangsung mulai esok hingga 8 September di Pusat Persidangan Kebangsaan, Vientiane.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Asli dan Alam Sekitar, Lao, Sommart Pholsena.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Lao, Haji Na’aim bin Haji Mohd Salleh.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Vientiane, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan.

Tema Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun ini ialah ‘Merealisasikan Wawasan bagi Komuniti ASEAN yang Dinamik’ yang akan dijadikan sebagai landasan bagi ASEAN untuk memfokuskan usaha-usaha bagi memperkukuhkan lagi Komuniti ASEAN dengan melaksanakan, antara lain, Visi Komuniti ASEAN 2025.

Baginda Sultan ketika berkenan melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Vientiane. – Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Vientiane. – Infofoto

Mufti Kerajaan membacakan Doa Selamat bagi keberangkatan Baginda Sultan ke Laos, di Istana Nurul Iman.
Mufti Kerajaan membacakan Doa Selamat bagi keberangkatan Baginda Sultan ke Laos, di Istana Nurul Iman.

Sidang-sidang kemuncak berkenaan akan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; pemimpin-pemimpin lapan rakan dialog iaitu Australia, Republik Rakyat China, Republik India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Persekutuan Rusia, dan Amerika Syarikat, selain perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini merupakan Sidang Kemuncak ASEAN pertama yang diadakan selepas penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015 dan selepas menerima pakai visi ASEAN iaitu ASEAN 2025: Bersama.

Terdahulu itu, sebelum berangkat ke Vientiane, Doa Selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di Istana Nurul Iman,

Paduka-paduka anakanda dan paduka-paduka adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan. – Gambar Muiz Matdani
Paduka-paduka anakanda dan paduka-paduka adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan. – Gambar Muiz Matdani

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Berangkat sama dan hadir ialah pengiran-pengiran cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; pemangku pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; dan Kuasausaha sementara (Charge de Affairs) Kedutaan Besar Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA