Berangkat ziarah jenazah Pg. Babu Raja

Berangkat ziarah jenazah Pg. Babu Raja

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pagi ini berkenan berangkat menziarahi jenazah Almarhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan di Taman Seri Alam, Kampung Beribi, hari ini.

Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar adalah bonda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Juga berangkat ialah paduka-paduka adinda, putera-putera dan puteri-puteri Baginda serta ahli kerabat diraja yang lain.

Sembahyang jenazah diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat menziarahi jenazah Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja di Taman Seri Alam, Kampung Beribi, kelmarin.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat menziarahi jenazah Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja di Taman Seri Alam, Kampung Beribi, kelmarin.
Baginda Sultan bersama paduka-paduka anakanda dan adinda serta ahli kerabat diraja yang lain berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan.
Baginda Sultan bersama paduka-paduka anakanda dan adinda serta ahli kerabat diraja yang lain berkenan menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain kemudian berangkat ke Istiadat Permakaman Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar di Kubah Makam Diraja.

Berangkat sama ialah Duli Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta paduka-paduka adinda, putera-putera dan puteri-puteri Baginda dan ahli kerabat diraja yang lain.

Bacaan Tahlil dan Doa Tahlil dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga membacakan talkin.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudian berkenan menjirus air asah-asahan ke atas makam Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja. Juga menjirus air asah-asahan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda dan putera-putera Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda semasa berangkat ke istiadat pemakaman Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda semasa berangkat ke istiadat pemakaman Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menjirus air asah-asahan ke atas makam Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menjirus air asah-asahan ke atas makam Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja. – Gambar-gambar oleh Infofoto
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berkenan menjirus air asah-asahan ke atas makam sambil diperhatikan oleh DYTM Pengiran Perdana Wazir.
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berkenan menjirus air asah-asahan ke atas makam sambil diperhatikan oleh DYTM Pengiran Perdana Wazir.

Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar mangkat pada pukul 5:45 pagi tadi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada usia 88 tahun.

Semasa hayatnya, Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja dikurniakan dengan beberapa bintang kebesaran dan pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam, Darjah Kerabat Lila Utama Yang Amat Di Hormati (DK), Darjah Paduka Seri Lila Jasa Darjah Kedua (DSLJ) dan Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (PHBS).

Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja berkahwin dengan Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohammad Alam bin Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman pada tahun 1943 dan dikurniakan dengan sembilan orang anak, 37 orang cucu dan 29 orang cicit. Sementara itu, pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berikutan dengan kemangkatan Almarhumah YTM Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar, bendera Negara Brunei Darussalam dan juga bendera-bendera peribadi yang biasanya dikibarkan pada masa ini, hendaklah dikibarkan empat kaki dari tiang puncak bendera selama satu hari pada hari ini, manakala Naubat ditutup selama 40 hari mulai hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA