Beras Perang lebih berkhasiat

Beras Perang lebih berkhasiat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Sebagai salah satu cara untuk menggalakkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan kini telah mula menjual Beras Perang Tempatan.

Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar berkata beras perang (Brown Rice) yang dihasilkan itu merupakan beras yang melalui proses pengisaran tetapi tidak digilap sepenuhnya yang meninggalkan sedikit lapisan dedaknya pada beras berkenaan.

Beras perang berkenaan mempunyai khasiat yang lebih baik disebabkan sebahagian besar khasiatnya masih lagi berada di dalam sekamnya dan amat berguna bagi mereka yang inginkan beras yang berkhasiat, jelasnya lagi dalam temu bual bersama pihak media selepas Majlis Menanam Padi Laila di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, baru-baru ini.

Disebabkan beras itu tidak melalui proses pengisaran sepenuhnya, ia juga tidak boleh bertahan lama dalam keadaan suhu luar dan hanya mampu bertahan selama dua minggu tetapi jika ia diletakkan di dalam peti sejuk ia mampu bertahan sehingga tiga bulan.

Beliau juga menyatakan bahawa dari segi harga, beras perang adalah lebih mahal berbanding beras-beras yang diproses sepenuhnya tetapi ia mempunyai kandungan vitamin, serat dan bran.

Yang Berhormat Pehin menunjukkan beras perang yang juga dihasilkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Yang Berhormat Pehin menunjukkan beras perang yang juga dihasilkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

“Ia amat sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah-masalah seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.”

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, lazimnya selepas padi dikupas, ia akan menghasilkan beras perang yang akan menjalani proses menggilap untuk membuang lapisan dedak, dan menjadikan beras tersebut putih. Dedak kaya dengan sumber nutrien yang menjadikan beras perang kaya dengan serat, Vitamin B dan zat galian.

Beras perang tempatan ini telah mula dijual oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan pada Pesta Ulam-Ulaman dan Pelbagai Tanaman yang diadakan pada 30 April lalu.

Memandangkan permintaan pengguna terhadap beras berkenaan adalah sangat menggalakkan, jabatan telah meneruskan penjualan beras berkenaan menggunakan dua varieti iaitu Laila dan MRQ76.

Ia hanya boleh diperolehi di dalam negara memandangkan jangka hayat yang terhad iaitu dua minggu pada suhu bilik dan tiga bulan jika ianya disimpan di dalam peti sejuk.

Jangka hayat yang pendek ini disebabkan oleh asid lemak dan minyak semula jadi yang terdapat dalam lapisan dedak beras perang yang menyebabkan beras menjadi tengik jika tidak disimpan dalam suhu yang sejuk.

Beras perang tempatan kini boleh didapati dalam kuantiti 1kg dengan harga $3.40 sekilo dan dijual di Dewan Melati, Kawasan P1 Pusat Urus Niaga Hortikultur Rimba, Gadong.

Waktu penjualan adalah setiap hari Isnin dan Rabu, dari pukul 8 pagi hingga 10.30 pagi pada Bulan Ramadan, mana-kala bagi bulan-bulan lain, waktu penjualan adalah dari pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.

Maklumat lanjut mengenai beras perang dan penjualannya boleh didapati dengan menghubungi talian 2388089 atau 2388053.

ARTIKEL YANG SAMA