Beras simbol kehidupan masyarakat

Beras simbol kehidupan masyarakat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Beras merupakan makanan asas bagi masyarakat etnik Negara Brunei Darussalam dan beras atau padi berkait rapat dengan nilai-nilai simbolik kepercayaan setiap kumpulan etnik negara di mana ia merupakan cara untuk mengimbangi keperluan asas kehidupan harian masyarakat.

Di samping itu, beras mempengaruhi pelbagai aspek budaya kehidupan harian masyarakat etnik Brunei seperti seni, teknologi, kepercayaan, nyanyian dan upacara keagamaan sebagai simbol kehidupan serta kemakmuran.

Kewujudan beras dipercayai, oleh masyarakat etnik Brunei, mempunyai latar belakang spiritual, oleh itu, pemberian dari segi ritual diberikan setiap tahun semasa pesta menuai padi dipersembahkan oleh masyarakat setempat sebagai tanda penghargaan atas tuaian yang lumayan itu.

Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Pegawai Etnologi di Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Norazah binti Pengiran Haji Muhammad ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Pesta-pesta Padi Negara Brunei Darussalam’ semasa Pesta Padi ASEAN yang berlangsung di Hotel StarLodge, Jerudong, hari ini.

Hadir semasa pembentangan kertas kerja berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika menghadiri majlis pembentangan kertas kerja itu.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika menghadiri majlis pembentangan kertas kerja itu.
Pengiran Norazah (kanan), Dayang Nur’Ain (tengah) dan Dayang Renugaa R (kiri) semasa sesi pembentangan kertas kerja berkenaan.
Pengiran Norazah (kanan), Dayang Nur’Ain (tengah) dan Dayang Renugaa R (kiri) semasa sesi pembentangan kertas kerja berkenaan.

Pengiran Norazah menyatakan bahawa di Brunei, kumpulan etnik yang mengamalkan penuaian padi secara tradisionalnya adalah mereka yang tinggal di kawasan pedalaman seperti masyarakat Kedayan, Murut, Dusun, Bisaya, Belait dan Tutong di mana setiap kumpulan etnik itu mempunyai pesta, ritual dan kepercayaan mereka tersendiri yang berkaitan dengan penuaian padi.

Dalam kertas kerja itu, Pengiran Norazah menyentuh dan membincangkan mengenai tiga pesta padi yang diraikan di Brunei iaitu Makan Tahun bagi puak Kedayan, ritual Perakong bagi puak Belait dan ritual Tamarok Parai bagi puak Dusun dan Bisaya.

Dalam kesimpulannya, Pengiran Norazah menyatakan bahawa adat, ritual dan tradisi memberikan bayangan mengenai kehidupan sesebuah masyarakat di mana melalui adat itu, kita boleh mengenali sesebuah etnik atau masyarakat.

Oleh itu, beliau percaya, amat penting untuk merakamkan dan menggambarkan adat-adat itu dari segi kekayaannya dan butirannya yang membayangkan interaksi di antara imaginasi manusia dan alam semula jadi.

Beliau menekankan perkara itu adalah amat penting sekali pada zaman sekarang di mana pelbagai perubahan sedang berlaku yang disebabkan oleh pemodenan dan globalisasi dengan pendedahan kepada elemen asing serta teknologi baru telah melemahkan kepentingan untuk memindahkan khazanah kebudayaan kepada generasi muda.

Dalam hubungan itu, beliau menyeru perlunya untuk meningkatkan lagi usaha pemindahan ilmu pengetahuan mengenai khazanah budaya kita kepada generasi muda supaya mereka dapat mempelajari dan menghargai khazanah budaya kaya masyarakat kita dan bagi mereka untuk meneruskan usaha yang dilaksanakan dengan memindahkan ilmu pengetahuan itu kepada generasi akan datang.

Majlis juga menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh peserta dari Singapura iaitu Dayang Nur’Ain binti Taha dan Dayang Renugaa R yang bertajuk Grains of Life: The Significance of Rice in Urban Indian and Malay Communities in Singapore di mana mereka menerokai mengenai signifikan pesta berkaitan padi kepada komuniti pertanian tradisional yang berhijrah ke Singapura.

Mereka turut menyentuh mengenai pelbagai pesta padi dan tradisi yang diamalkan sekian lama oleh sebahagian daripada masyarakat India dan Melayu di Singapura termasuk menumpukan kepada signifikan perayaan berkaitan dengan padi dan tradisi yang berkaitan dengan kitaran hidup seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian dalam komuniti India dan Melayu Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA