Beras varieti baru mula dipasarkan

Beras varieti baru mula dipasarkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Usaha Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) untuk menjamin sekuriti makanan khusus dalam mencapai sasaran meningkatkan kadar penghasilan beras negara sehingga mencecah sasaran sara diri 60 peratus mencatat satu lagi mercu tanda penting apabila Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mula memasarkan varieti atau jenis beras baru yang ditanam di Negara Brunei Darussalam iaitu Beras MRQ76.

Varieti beras MRQ76 kini sudah mula dijual di pasar-pasar raya utama. Ia merupakan salah satu varieti yang diuji di bawah projek kerjasama kajian tanaman padi yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta MARDI di Negara Brunei Darussalam khususnya di kawasan penanaman padi Wasan.

Menurut Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar Yahya, beras MRQ76 dikatakan mempunyai rasa yang serupa dengan beras Hom Mali, Thailand.

Satu kebaikan bagi penanam-penanam di Brunei ialah ia mempunyai ketahanan terhadap beberapa perosak penyakit dan musuh berbanding dengan beras-beras lain, katanya dalam temu bual bersama pihak media selepas Majlis Menanam Padi Laila di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis, Kampung Limau Manis, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin berkata, pengenalan varieti beras baru itu adalah usaha Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk membantu peladang-peladang padi untuk meningkatkan hasil pengeluaran serta juga untuk membezakan dan memperkenalkan pelbagai varieti padi.

Yang Berhormat Pehin menerangkan mengenai Beras MRQ76 yang kini boleh diperoleh di pasaran kepada wakil media.
Yang Berhormat Pehin menerangkan mengenai Beras MRQ76 yang kini boleh diperoleh di pasaran kepada wakil media.

Daripada segi penghasilan, varieti MRQ76 mampu untuk mencapai purata hasil sebanyak empat tan metrik sehektar dan para peladang memberikan maklum balas yang positif terhadap hasil pengeluaran varieti padi terbaru berkenaan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, sambutan daripada orang ramai mengenai varieti beras MRQ76 di pasaran adalah baik kerana rasa beras setanding dengan beras yang diimport dari Thailand atau lebih dikenali sebagai beras Hom Mali.

Sementara itu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah menjalankan penilaian pengeluaran hasil serta penilaian cita rasa nasi bagi varieti MRQ76 bersama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sumber-Sumber Utama (PREDEC) sejak 2013.

Varieti MRQ76 diisytiharkan di Malaysia pada tahun 2012 sebagai varieti berkualiti tinggi yang dipilih berdasarkan kualiti nasi yang khusus iaitu wangi, lembut dan sedikit melekit, bertepatan dengan permintaan pasaran tempatan bagi para penduduk Negara Brunei Darussalam.

Hasil daripada kajian penilaian cita rasa (sensory tests) yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan tersebut, Varieti MRQ76 telah didapati setanding dengan varieti Laila dan beras wangi yang diimport dari Thailand atau Hom Mali dari segi cita rasa pengguna tempatan.

Pada masa ini, penanaman MRQ76 masih lagi di bawah kajian kesesuaian di ladang pengusaha dan penanamannya masih lagi dihadkan beberapa kawasan ladang padi sahaja.

Sepanjang kajian yang telah dijalankan, varieti MRQ76 menunjukkan potensi yang sangat tinggi untuk dimajukan di mana pengusaha mampu untuk mencapai purata hasil sebanyak empat tan metrik sehektar.

Dengan amalan pengurusan ladang yang baik, sasaran hasil sekitar lima tan metrik sehektar juga boleh dicapai di persekitaran ladang di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA