Beratus dikhuatiri maut di Guatemala

Beratus dikhuatiri maut di Guatemala

SANTA CATARINA PINULA, Guatemala, 4 Okt (Reuters) – Harapan pudar bagi menemui sebarang mangsa yang masih terselamat dalam tanah runtuh besar-besaran di Guatemala yang membunuh sekurang-kurangnya 86 orang, meskipun keluarga terus menggali melalui serpihan untuk mencari mayat orang tersayang, dengan beratus-ratus lagi masih hilang.

Sanak saudara yang kesedihan menggali bersama penyelamat dalam timbunan tanah yang memusnahkan rumah-rumah di Santa Catarina Pinula, di selatan Guatemala City selepas runtuhan sebuah bukit pada malam Khamis.

Setiap timbunan tanah digali oleh penyelamat ternyata mengeluarkan hanya barangan peribadi daripada tilam sehinggalah buku, mainan dan dekorasi Krismas, dengan saki baki 350 orang lagi belum dikira.

Memegang gambar orang tersayang, anggota keluarga berdiri dalam barisan di luar sebuah bilik mayat sementara berhampiran tapak penggalian, sebahagiannya menangis, untuk melihat sama ada mereka mengenali sebarang mayat-mayat itu.

“Ini adalah perkara paling buruk pernah berlaku kepada kami,” kata Ana Maria Escobar, seorang suri rumah tangga berusia 48 tahun, menangis teresak-esak menunggu berita 21 anggota keluarganya yang mendiami bandar yang ditinggalkannya setahun yang lalu.

Pekerja penyelamat menemui mayat tertimbus selepas kejadian tanah runtuh di Santa Catarina Pinula yang membunuh 84 orang setakat ini dan dikhuatiri beratus lagi menemui ajal. – AFP
Pekerja penyelamat menemui mayat tertimbus selepas kejadian tanah runtuh di Santa Catarina Pinula yang membunuh 84 orang setakat ini dan dikhuatiri beratus lagi menemui ajal. – AFP

“Setakat ini hanya adik ipar saya yang ditemui,” tambahnya.

Seorang penggali mengeluarkan mayat budak perempuan yang mempunyai tanda calar di tangan dan kakinya yang menurut penyelamat mungkin tanda-tanda dia bergelut untuk melarikan diri. Orang ramai menangis untuk menghalang penggali memusnahkan tubuhnya.

Manakala Gaby Ramirez, seorang pekerja perkhidmatan penghantaran berusia 18 tahun, mencari adiknya dengan cangkul di tangannya semenjak jam 6 pagi, selepas tanah runtuh menimbus sebuah rumah jiran yang dikunjunginya.

“Saya tidak berharap dapat menemuinya hidup-hidup, namun saya berharap dapat menemui mayatnya dan mengebumikannya,” katanya. “Saya mesti mengebumikannya, saya tidak boleh meninggalkannya di sini.”

ARTIKEL YANG SAMA