Beratus-ratus hilang kapal karam di Sg Yangtze

Beratus-ratus hilang kapal karam di Sg Yangtze

SHANGHAI, 2 Jun (Reuters) – Penyelamat bergelut mengharungi cuaca buruk hari ini ketika mereka mencari lebih daripada 400 orang, ramai daripadanya pelancong warga emas China, hilang selepas sebuah kapal karam di Sungai Yangtze dalam apa yang dikatakan kemungkinan besar bencana perkapalan terburuk China dalam masa 70 tahun.

Penyelam dan beberapa pekerja penyelamat lain terdesak untuk sampai ke tempat lima orang yang didapati terperangkap dalam badan kapal Eastern Star yang terbalik, sejumlah kecil daripada 458 orang yang dilaporkan media negara berada di atas kapal apabila ia karam akibat taufan lewat semalam.

Televisyen kerajaan menunjukkan rakaman penyelamat cuba memotong badan kapal dengan mesin. Akhbar People’s Daily mengatakan penumpang masih berada di dalam Eastern Star, manakala agensi berita rasmi Xinhua melaporkan penyelamat boleh mendengar orang ramai meminta bantuan dari dalam.

Penyelam menarik keluar seorang lelaki dan wanita berusia 65 tahun hidup-hidup dari kapal pelancong empat dek yang karam itu, menurut Xinhua. Manakala kira-kira sedozen lagi orang diselamatkan dan lima mayat ditemui, menurut laporan media, dengan lebih daripada 430 orang lagi belum dikirakan. Berpuluh-puluh bot penyelamat pula terpaksa mengharungi angin kencang dan hujan untuk sampai ke kapal itu yang terdampar terbalik di perairan kira-kira 15 meter dalamnya.

Bencana itu boleh mencatatkan jumlah kematian lebih tinggi berbanding feri tenggelam di Korea Selatan dalam April 2014 yang membunuh 304 orang, kebanyakannya pelajar sekolah yang dalam lawatan sekolah. Akhbar People’s Daily yang menyiarkan manifestasi penumpang di mikroblognya, mengatakan mereka yang berada di atas Eastern Star berusia di antara tiga sehingga 80 tahun.

Pekerja menyelamat membawa mayat dari kapal karam di bahagian Jianli, Sungai Yangtze di wilayah Hubei, China, 2 Jun. Penyelamat bertungkus lumus mengharungi cuaca buruk ketika mereka mencari lebih daripada 400 orang, kebanyakan mereka pelancong warga emas yang hilang selepas kapal karam di sungai itu. – Reuters
Pekerja menyelamat membawa mayat dari kapal karam di bahagian Jianli, Sungai Yangtze di wilayah Hubei, China, 2 Jun. Penyelamat bertungkus lumus mengharungi cuaca buruk ketika mereka mencari lebih daripada 400 orang, kebanyakan mereka pelancong warga emas yang hilang selepas kapal karam di sungai itu. – Reuters

Presiden Xi Jinping sudah mengarahkan agar segala usaha dikerahkan untuk penyelamatan dan Perdana Menteri Li Keqiang ke tempat kejadian kemalangan di wilayah tengah Hubei, menurut Xinhua.

Kira-kira 50 ahli keluarga yang marah berkumpul di luar sebuah agensi pelancongan di Shanghai yang menempah lawatan bagi kebanyakan mereka yang berada dalam kapal dan menuntut maklumat terkini bagi sanak saudara mereka yang hilang.

“Saya hanya mendapat tahu mengenai perkara ini dalam berita ketika saya bekerja dan terus datang ke sini,” kata Wang Sheng, 35, yang ibu dan bapanya di dalam kapal itu.

“Saya menangis sepanjang perjalanan ke sini dan saya tidak menemui sesiapa, pintu berkunci,” kata Wang.

Kapten kapal dan ketua jurutera adalah antara beberapa orang yang dapat diselamatkan, kini ditahan polis untuk soal siasat,” menurut Xinhua.

Menurut pentadbiran pengemudi Sungai Yangtze, kedua-dua mereka mengatakan kapal terus karam sebaik sahaja ia terperangkap dalam apa yang diterangkannya sebagai taufan tiba-tiba.

Xinhua menjelaskan laporan awal mendapati kapal itu tidak terlebih muatan dan ia mempunyai cukup rompi keselamatan di dalamnya bagi jumlah penumpang yang dibawanya. Mereka yang terselamat memakai rompi keselamatan, lapor Xinhua.

Antara mereka yang menaiki kapal itu ialah 406 pelancong berusia 50 hingga 80 tahun, dalam lawatan yang dianjurkan oleh sebuah kumpulan pelancongan Shanghai, bersama 47 krew dan lima orang pemandu pelancong, menurut People’s Daily.

Radio kerajaan melaporkan kapal itu tenggelam dalam masa dua minit dan tiada panggilan kecemasan dibuat. Tujuh orang berenang ke tebing untuk memberikan amaran, kata media.

Bot nelayan adalah antara berpuluh-puluh kapal yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, kata Xinhua, dengan lebih 1,000 polis dan 40 dingi getah boleh kembung juga dihantar.

Eastern Star yang mempunyai kapasiti untuk membawa lebih 500 orang, sedang menuju ke bandar barat laut Cjongqing dari Nanjing, ibu kota wilayah timur Jiangsu ketika ia karam sekitar jam 9:28 malam di bahagian Jianli sungai itu.

ARTIKEL YANG SAMA