Berazam pertahan kejuaraan

Berazam pertahan kejuaraan

Oleh Arissa

 

LAWAS, 15 Sept – Pasukan Putera Kuala Lawas (PKL) yang merupakan Raja Sungai Brunei 2015 berazam mengulangi kejayaan buat kali ketiga berturut-turut dalam Regata Brunei 2016 sekali gus membawa pulang Piala Pusingan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ketua kontinjen PKL, Awang Damit Ali Hasan berkata anak-anak buahnya sudah melakukan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan kali ketiga dalam regata itu sambil berkata tahun depan merupakan peluang terbaik buat pasukannya untuk membawa pulang piala yang menjadi idaman setiap pasukan di wilayah Teluk Brunei.

“PKL akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kejuaraan tiga kali berturut-turut sekali gus membolehkan kita membawa pulang Piala Pusingan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” katanya pada Majlis Kesyukuran PKL, Regata Limbang 2015 di Hotel Seri Malaysia malam kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agung, Pegawai Daerah Kecil Sundar Ladin Atok, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Shamlie Radaee, Pengurus PKL, Abdul Kadir Bayan dan jawatankuasa tertinggi PKL.

Awang Damit berkata lagi pasukannya juga masih menampilkan gabungan pengayuh muda dan veteran untuk berjuang mencapai misi kejuaraan di negara jiran.

DI MERCU KEJAYAAN...Awang Damit (berdiri empat kiri), Henry (berdiri enam kiri) bersama orang kuat PKL bergambar bersama piala kejuaraan dalam sukan regata tersebut.
DI MERCU KEJAYAAN…Awang Damit (berdiri empat kiri), Henry (berdiri enam kiri) bersama orang kuat PKL bergambar bersama piala kejuaraan dalam sukan regata tersebut.

Beliau berkata beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk mengimport jurulatih terbaik dari Indonesia untuk mendidik anak-anak buahnya dalam aspek teknik kayuhan sebelum turun ke Brunei nanti.

“Kita akan terus mara ke hadapan, meskipun akan berdepan dengan pencabar terdekat terdiri daripada pasukan terkuat dari Brunei itu sendiri, pasukan lain dari Indonesia serta pasukan tempatan dari Daerah Lawas,” katanya dengan penuh semangat.

PKL merupakan pasukan dari Sarawak yang berjaya melakar nama di mercu kejayaan dalam Regata Brunei sejak beberapa tahun lalu dengan muncul juara pada Regata Brunei sejak 2014 dan 2015 dalam acara Lumba Perahu Tradisi 30 Pekayuh Maraton selain mengungguli acara kayuhan dalam pelbagai kategori.

Awang Damit berkata lagi berbekalkan prinsip ‘Do it together’ beliau mahu anak-anak buahnya terus fokus untuk mencapai kejayaan berterusan dalam kejohanan itu nanti.

Regata Brunei Darussalam (RBD) 2015 dikendalikan bersama oleh tiga kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama di perairan Sungai Brunei berhadapan dengan Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan Mac lepas.

ARTIKEL YANG SAMA