Berbakti di negara sendiri

Berbakti di negara sendiri

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 29 Mac – Dengan hasrat untuk berbakti dan memberi khidmat perubatan dan kesihatan kepada masyarakat dan penduduk di tempat asalnya, seorang doktor tempatan telah menubuhkan kliniknya di Daerah Tutong yang akan mula dibuka 1 April ini.

Doktor Haji Mohamad Baharin bin Haji Bintang yang merupakan doktor pakar dalam Penjagaan Asasi Kesihatan berkata, inilah masanya untuk beliau menyampaikan khidmat perubatan dan kesihatan kepada masyarakat dan penduduk di Daerah Tutong memandangkan beliau sudah pun dikenali masyarakat daerah ini.

Lagi pula, klinik swasta di Daerah Tutong adalah terhad dan dengan wujudnya klinik itu di Kampung Petani, ia akan memudahkan para penduduk di daerah tersebut mencari klinik swasta yang berdekatan, ujar beliau lagi mengenai keputusannya untuk membuka Klinik Rayyan Baharin.

Menurutnya, beliau sendiri akan bertugas di klinik berkenaan dan kebanyakan kakitangan yang diambilnya merupakan bekas paramedik di Kementerian Pertahanan yang telah bersara dan mempunyai pengalaman dalam bidang perubatan.

Dr. Haji Mohamad Baharin mempunyai pengalaman 16 tahun dalam bidang perubatan dan kesihatan yang mana beliau pernah bekerja di Kementerian Kesihatan pada tahun 1999, dan berpindah ke Kementerian Pertahanan pada tahun 2001 sehingga tahun 2015.

Doktor Haji Mohamad Baharin akan menubuhkan kliniknya sendiri yang akan mula beroperasi pada 1 April ini.
Doktor Haji Mohamad Baharin akan menubuhkan kliniknya sendiri yang akan mula beroperasi pada 1 April ini.

Di samping itu, beliau juga pernah mengambil General Practitioner Training (GP) yang menumpukan kepada latihan Doktor Penjagaan Asasi Kesihatan di United Kingdom pada tahun 2001 hingga Tahun 2004.

Selain mempunyai kepakaran dalam Penjagaan Asasi Kesihatan, beliau juga pakar dalam Perubatan Sukan yang mana beliau pernah menjadi Pengurus Bola Sepak Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB).

Sebagai seorang doktor tempatan, beliau ingin berkongsi sama dalam menyampaikan ilmu perubatan kepada orang ramai dan pesakit-pesakit, memberi perkhidmatan perubatan kepada penduduk dan masyarakat di Daerah Tutong, serta menyahut kerajaan dalam menggalakkan perusahaan termasuk pembukaan klinik swasta selain dapat mengurangkan pengangguran di negara ini.

Dengan moto kliniknya iaitu “Kesihatan itu Kekayaan”, beliau menasihati generasi masa kini terutama belia-belia dan remaja agar mementingkan dan menjaga kesihatan mereka.

“Ini kerana tanpa kesihatan, kita takkan mampu membuat apa-apa. Kita perlu menghargai usaha kerajaan dalam memberi peluang kepada kita untuk menjaga kesihatan demi untuk menjadi rakyat yang proaktif dan berwawasan,” tekannya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk Klinik Kesihatan Keluarga dan Klinik Pesakit Luar, Klinik Perubatan Sukan dan Khidmat Fisioterapi, Klinik Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak termasuk vaksinasi, Pemeriksaan Kesihatan Am bagi mengenal pasti penyakit-penyakit tak berjangkit dan pemeriksaan kesihatan.

Turut ditawarkan ialah khidmat nasihat kecergasan, memberi garis pandu kegiatan jasmani bagi mereka yang aktif atau meningkatkan tahap kecergasan, program pengurusan berat badan termasuk program jasmani, preskripsi eksesais dan program pemakanan.

Selain itu, beliau juga menawarkan kaedah rawatan akupunktur untuk merawat kesihatan dan kecantikan.

ARTIKEL YANG SAMA