Berbakti sebelum pulang ke tanah air

Berbakti sebelum pulang ke tanah air

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Setelah hampir setahun berada di Negara Brunei Darussalam, kumpulan sukarelawan China menyatakan bahawa pengalaman dan waktu yang dihabiskan bersama-sama masyarakat Brunei dalam kehidupan harian terhadap kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan bukan sahaja memberikan mereka pengertian dan memahami dengan lebih dekat budaya, sejarah dan kehidupan masyarakat Brunei tetapi ia juga satu pengalaman yang mematangkan mereka.

Sebelum pulang ke tanah air mereka pada Jun nanti, kumpulan sukarelawan berkenaan bersama-sama rakan-rakan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) seramai 19 orang, mengambil peluang yang diberikan untuk melakukan kerja kebajikan gotong-royong membersihkan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta mengadakan pertunjukan kebudayaan masyarakat Cina bagi menghiburkan pelajar-pelajar istimewa pusat berkenaan di Bengkurong, hari ini.

Menurut Ketua Kumpulan Sukarelawan China, Guowei He, melalui kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan yang dilaksanakan oleh kumpulan itu, mereka bukan sahaja melihat dan mengalami sendiri kemesraan masyarakat Brunei tetapi memahami lagi erti keunikan semangat bergotong-royong dan kekeluargaan dalam melaksanakan sesuatu tugas.

“Pengalaman yang kami tempuhi selama ini telah banyak membuka minda dan mematangkan kami. Pada masa yang sama, kami merasa sedih kerana akan meninggalkan Brunei tidak lama lagi, sebuah negara yang banyak memberikan kami kenangan indah dan ramai kawan-kawan baru.”

Guowei berkata beliau bersama rakan-rakannya berpeluang untuk melihat sendiri budaya masyarakat Brunei dan menyertai pelbagai kegiatan kebajikan termasuk mengadakan projek sukarela di Pusat Ehsan.

Ahli sukarelawan membersihkan kipas-kipas di Pusat Ehsan.
Ahli sukarelawan membersihkan kipas-kipas di Pusat Ehsan.
Ahli kumpulan Sukarelawan China melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum mengadakan pertunjukan kebudayaan bersama pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan.
Ahli kumpulan Sukarelawan China melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum mengadakan pertunjukan kebudayaan bersama pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan.

Semasa persembahan kebudayaan itu, para sukarelawan bukan sahaja membuat pertunjukan kebudayaan tetapi mengadakan kegiatan tai chi serta mengadakan kegiatan seperti pertunjukan seni kertas Cina bersama-sama para pelajar istimewa pusat itu.

Kumpulan Sukarelawan China seramai 10 orang berada di Brunei sejak Ogos 2015 dan bakal menamatkan penempatan mereka di Brunei pada Jun nanti. Kumpulan sukarelawan itu merupakan kumpulan sukarelawan kedua yang mengadakan penempatan di Brunei selama kira-kira setahun di mana kumpulan pertama bagi Program Sukarelawan China menamatkan perkhidmatan sukarelawan mereka pada 2013.

Program Sukarelawan China merupakan satu program yang dihasratkan untuk mempromosikan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China yang mana di bawah program itu, China akan menghantar kumpulan sukarelawan ke Brunei untuk menyertai program penempatan dan sukarelawan selama setahun.

Fasa pertama bagi program itu dilancarkan pada 2012 dengan kumpulan seramai lebih 20 sukarelawan China telah menyertai dan berjaya menamatkan penempatan program sukarelawan mereka di Brunei pada 2013.

Fasa kedua bagi program itu, menyaksikan seramai 10 orang sukarelawan China yang bertugas sebagai pembantu pengajar di Universiti Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang iaitu perubatan, perakaunan dan Bahasa Mandarin.

Kumpulan itu juga ditempatkan di tiga fakulti di UBD iaitu di Institut Sains Kesihatan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Pusat Bahasa di mana mereka bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja mengajar tetapi juga mengambil bahagian dalam kerja-kerja penyelidikan di UBD.

Selain daripada terlibat dalam kerja-kerja mengajar dan penyelidikan, sukarelawan berkenaan turut mengadakan kerja-kerja sukarelawan di Pusat Ehsan dan berharap untuk meneruskan penyertaan serta penglibatan mereka dalam pelbagai kegiatan kebajikan, amal dan kesukarelawanan sehingga tamat tempoh penempatan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA