Berbaktilah kepada ibu bapa

Berbaktilah kepada ibu bapa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu perkara wajib yang diperintahkan oleh Allah S.W.T, maka jika melanggar perintah ini, anak-anak berdosa besar, apa tah lagi jasa ibu bapa tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit, hanya sentiasa menghormati, berbakti dan berbuat baik kepada mereka sehingga akhir hayat mampu membalas jasa mereka.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menegaskan bahawa berbakti kepada mereka adalah perlu kerana mereka telah bersusah payah menjaga dan membesarkan kita semenjak kandungan ibu lagi hingga dewasa.

Menurut khatib, terdapat banyak cara untuk berbakti dan berbuat baik dengan ibu bapa seperti menyopani dan menghormati mereka, tidak bercakap kasar, memanggil mereka dengan suara yang lemah lembut dan menyenangkan.

Apabila mereka memanggil, hendaklah kita mendatangi dan menjawab pertanyaan mereka dengan segera dan apabila mereka meminta makanan atau pakaian, wajib bagi anak-anak menunaikannya, tambahnya.

“Apabila mereka menyuruh berbuat sesuatu atau meminta bantuan kita hendaklah dilaksanakannya kecuali perkara yang dilarang oleh agama dan jangan sekali-kali lupa mendoakan mereka supaya Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka,” tambahnya.

Sebenarnya begitu tinggi keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa menurut ajaran agama Islam dan sebagai anak, adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab dalam menjaga ibu bapa kita?

Dalam menghadapi situasi seperti ini, jelas khatib, sebagai seorang anak perlu bersabar melayani kerenah mereka dan jangan mudah hilang sabar, melenting dan marah kerana perbuatan tersebut akan mengguris hati mereka.

Jika hati mereka terguris, ini akan membuatkan kita menjadi anak yang durhaka dan balasannya adalah neraka.

Khatib seterusnya menjelaskan, salah satu tanda-tanda anak yang durhaka kepada ibu bapa ialah anak yang mengakibatkan ibu bapa mereka menangis disebabkan perbuatan anak tersebut melukakan hati mereka.

“Ada pun tuntutan berbuat baik bukan hanya terhad kepada ibu bapa saja tetapi ia termasuk kepada orang-orang tua dan warga emas sama ada yang ada hubungan kekeluargaan atau tidak,” tegasnya.

Bukan setakat itu, warga emas juga mempunyai hak untuk mendapatkan kasih sayang dan penghormatan dengan menjaga hak-hak mereka dan di negara Brunei warga emas tidak diabaikan di mana mereka menerima kemudahan daripada kerajaan.

Mereka diberikan perbelanjaan bulanan iaitu pencen umur tua di mana ini menunjukkan pengiktirafan serta keprihatinan kerajaan terhadap warga emas.

Menurut khatib, sebagai seorang anak tidak akan terlepas tanggungjawab untuk terus membantu orang tua sama ada dari segi kewangan atau bantuan yang lain.

“Apa yang menyedihkan terdapat segelintir anak-anak yang mengambil kesempatan meminta wang atau menggunakan pencen umur tua ibu bapa mereka untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Khatib seterusnya menekankan, sedangkan wang tersebut diharapkan oleh ibu bapa mereka untuk perbelanjaan jika mereka tiada mempunyai pendapatan lain. Kebanyakan ibu bapa berdiam diri bagi mengelakkan pertengkaran dan mengelakkan diri mereka tidak dipedulikan dan kadang-kadang terdapat ibu bapa yang sudah uzur disuruh menjaga cucu sedangkan mereka sendiri tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri

Mereka sendiri perlu penjagaan dan perhatian tetapi disebabkan kasihkan anak, beban tersebut ditanggung juga dengan memendam rasa.

“Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah memberikan kasih sayang dan perhatian terhadap ibu bapa dan orang tua-tua iaitu dengan memeduli keperluan dan kebajikan mereka serta menggembirakan hati mereka,” katanya.

Khatib seterusnya menegaskan, jangan sampai terjadi pengabaian ibu bapa dengan membiarkan mereka tinggal bersendirian dengan keadaan uzur dengan alasan terlalu sibuk atau tidak ada masa atau tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menjaga dan mengurus mereka.

Perlu diingat, tambah khatib, pengabaian itu adalah perbuatan derhaka terhadap ibu bapa yang patut dihindari dan jangan lupa, kita tidak semestinya akan kekal muda tetapi akan melalui zaman tua dan pada ketika itu baru dirasakan apa yang orang tua rasa pada masa ini.

Jika kita tidak menghormati mereka, kelak kita juga tidak akan dihormati dan inilah hasil balasan atas tingkah laku anak tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap orang tua mereka.

Kalau ibu bapa sanggup menjaga anaknya yang ramai kenapa kita tidak sanggup menjaga mereka terutama yang sudah tua dan tidak berupaya menyara hidupnya sendiri.

Apa pun yang kita lakukan atau korbankan, kita tidak akan mampu untuk membalas jasa kedua ibu bapa.

Oleh itu, ketika mereka masih hidup inilah kesempatan untuk kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan sebaik-baiknya seperti memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang, menghulurkan wang ringgit serta menziarahi ibu bapa yang tinggal berasingan dengan kita.

“Jika mereka sudah tiada, ziarahilah tanah perkuburan mereka dengan mendoakan keampunan dan rahmat untuk mereka dan buatlah amal kebajikan seperti sedekah dengan diniatkan pahalanya untuk kedua ibu bapa,” kata khatib.