Berbasikal atas air, berkayak di Taman Riadah Tasik Serubing

Berbasikal atas air, berkayak di Taman Riadah Tasik Serubing

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Berikutan sambutan yang menggalakkan semasa Pesta Jualan, Pesta Pancing dan Sukan Hari Keluarga baru-baru ini, aktiviti berbasikal atas air dan berkayak di Taman Riadah Tasik Sarubing, Kampung Belimbing akan dilanjutkan setiap hari Jumaat hingga Ahad.

Perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat Al-Taib Watersport and Recreation dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bellimbing ini menampilkan empat buah basikal atas air dan tiga buah kayak untuk disewa orang ramai pada harga $3 bagi tempoh 15 minit.

Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim semasa ditemui pada majlis penyerahan sebahagian hasil sewa perkhidmatan berkenaan semasa pesta pada 25 hingga 29 Disember lalu itu, kelmarin, berkata sambutan orang ramai semasa pesta berkenaan terutamanya aktiviti berbasikal atas air sangat menggalakkan.

Oleh itu, hasil daripada perbincangan MPK Belimbing dengan Pengurus Syarikat Al-Taib Watersport and Recreation, Awang Mohd Asri bin Mohd Taib, mereka telah memutuskan supaya perniagaan yang menawarkan aktiviti berkenaan akan beroperasi pada awal bulan ini, jelas beliau.

Berbasikal atas air antara yang menjadi tarikan di taman riadah tersebut.
Berbasikal atas air antara yang menjadi tarikan di taman riadah tersebut.
Yang Berhormat Haji Gapor @Haji Mohd Daud ketika majlis penyerahan sebahagian hasil sewa perkhidmatan berkenaan.
Yang Berhormat Haji Gapor @Haji Mohd Daud ketika majlis penyerahan sebahagian hasil sewa perkhidmatan berkenaan.

Katanya, dengan adanya sukan berbasikal di atas air ini akan dapat menarik pengunjung dalam dan luar negara untuk datang ke Taman Tasik Serubing.

Sementara itu, Setiausaha MPK Belimbing, Awang Daud bin Gihan pula menyatakan, dengan adanya perniagaan ini akan dapat menambah tabung simpanan MPK dan berkata, pada masa ini mereka telah membeli 15 buah kayak untuk para pengunjung di taman tersebut.

Pada majlis penyerahan berkenaan, sebanyak 30 peratus daripada hasil sewaan perkhidmatan berbasikal atas air dan kayak semasa pesta itu telah diserahkan oleh Awang Mohd Asri kepada Yang Berhormat Haji Gapor @Haji Mohd Daud. Wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam tabung MPK Belimbing.

ARTIKEL YANG SAMA