Berbelanja di negara sendiri

Berbelanja di negara sendiri

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Orang ramai digalakkan untuk berbelanja di negara sendiri dan pada masa yang sama memberi sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai barangan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Harapan itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Jualan Istimewa Hari Raya 2015, Pengiran Haji Kamaludin bin Pengiran Kerma Negara Pengiran Anak Haji Abdul Wahab dalam temu bual bersama Media Permata semasa Majlis Perasmian Jualan Istimewa Hari Raya 2015 yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Jualan istimewa anjuran Jawatankuasa Badan Penyelaras Peniaga-peniaga Bangunan Letak Kereta Bertingkat dan Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumiputera dirasmikan oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Ali bin Mat Yassin.

Pengiran Haji Kamaludin juga berkata, bukan sahaja para peniaga menawarkan pelbagai barangan yang berkualiti tetapi para pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan harga istimewa daripada para peniaga sepanjang jualan berkenaan.

Jualan istimewa itu merupakan jualan tahunan yang dihasratkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim bagi peniaga-peniaga dari Bangunan Letak Kereta Bertingkat dan Bangunan Pusat Komersial dan Perdagangan Bumiputera selain untuk menyajikan pelbagai pilihan bagi para pengunjung yang membeli-belah bagi meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Haji Ali memotong reben sebagai merasmikan Jualan Istimewa Hari Raya 2015 sambil diperhatikan oleh Pengiran Haji Kamaludin.
Haji Ali memotong reben sebagai merasmikan Jualan Istimewa Hari Raya 2015 sambil diperhatikan oleh Pengiran Haji Kamaludin.
Orang ramai yang tertarik dengan pelbagai barangan yang dijual di Jualan Istimewa Hari Raya 2015 yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Orang ramai yang tertarik dengan pelbagai barangan yang dijual di Jualan Istimewa Hari Raya 2015 yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

Sebanyak 51 buah gerai mengambil bahagian dalam jualan istimewa itu yang bermula dari 18 Jun hingga 17 Julai dengan menjual pelbagai barangan persediaan menyambut Sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian, songkok, langsir, tudung dan juga barangan hiasan rumah.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa penyelaras jualan berkenaan, Awang Hamdani bin Haji Yusof, jualan itu merupakan aktiviti tahunan yang terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pembeli dan pengunjung.

Oleh itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke jualan istimewa yang dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam untuk mendapatkan pelbagai barangan bagi menyambut Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada harga yang menarik.

ARTIKEL YANG SAMA