Berdakwah melalui seni sastera

Berdakwah melalui seni sastera

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Dengan pengkhususan kepada pendeklamasian sajak berunsurkan Islam, Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pertandingan Deklamasi Puisi Ramadan 2015 yang merupakan aktiviti tahunan jabatan yang bertujuan menyulam dan menerapkan nilai-nilai Islam, sekali gus menjadi sumber dakwah penyair melalui seni sastera.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di Dewan Sarmayuda, DBP itu ialah Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin.

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A bagi individu wanita atau berkumpulan yang berjumlah seramai sembilan orang manakala Kategori B bagi individu lelaki atau berkumpulan dengan jumlahnya seramai lima orang.

Hajah Armah binti Haji Bair muncul di tempat pertama bagi Kategori A, sementara itu, Haji Esa bin Kula juara bagi Kategori B.

Antara yang hadir di Majlis Pertandingan Deklamasi Puisi Ramadan 2015 anjuran Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal, DBP.
Antara yang hadir di Majlis Pertandingan Deklamasi Puisi Ramadan 2015 anjuran Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal, DBP.

Menurut kenyataan DBP, pertandingan seperti ini akan dapat mengimarahkan bulan Ramadan di samping menyemai minat pegawai dan kakitangan kerajaan terhadap seni kesusasteraan Islam khususnya puisi, yang mana pertandingan ini dibukakan kepada pegawai dan kakitangan DBP sahaja.

Apa yang diharapkan, pertandingan ini akan dapat memupuk rasa cinta dan kasih pegawai dan kakitangan terhadap Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, sekali gus menjadikan Ramadan sebagai bulan tarbiah dan menyucikan rohani secara spiritual, membantu kecemerlangan dan keunggulan sahsiah diri selain dapat menjalin hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan DBP.

Sementara itu, Hajah Aminah dalam ucapan ‘Seuntai Kata’ pula berkata pertandingan tersebut juga merupakan antara usaha jabatan dalam menyemarakkan bulan bahasa yang dirasmikan pelancarannya sempena Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran Bulan Bahasa yang diadakan baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA