Berdaya saing dalam suasana harmoni

Berdaya saing dalam suasana harmoni

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Dalam memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke-69, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli telah mengadakan Pertandingan Koir Sekolah-Sekolah Menengah, Maktab-Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Senegara Tahun 2015 dengan peringkat akhir diadakan di Pentas Perayaan di ibu negara, Sabtu lalu.

Muncul juara ialah kumpulan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dengan lagu mereka Alus Jua Dindang diikuti kumpulan Sekolah St George (Tipa) dan Kumpulan Sekolah Menengah Seri Mulia Sarjana (Alus Jua Dindang) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan selaku tetamu kehormat majlis.

Pertandingan akhir yang dianjurkan dengan kerjasama Sekolah St George itu disertai oleh enam kumpulan dengan tiga pasukan lain adalah dari Pusat Tingkatan Enam Meragang, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong, dan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Lumapas.

Persembahan daripada peserta Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Persembahan daripada peserta Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

Sebelum penyampaian hadiah, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh pelajar-pelajar Sekolah St. George.

Pertandingan antara lain bertujuan sebagai satu cabaran untuk para pelajar dalam mempersembahkan koir daripada lagu-lagu Brunei di samping mendorong para pelajar untuk berani beraksi di hadapan khalayak ramai dan mencungkil bakat yang ada pada mereka dalam teknik pemecahan vokal dan harmoni.

Ia juga diharap dapat melahirkan pelajar yang bersemangat kompetitif dan mampu berdaya saing dalam suasana yang harmoni dengan tujuan untuk membina sifat dan peribadi yang positif dan berdisiplin.

ARTIKEL YANG SAMA