Berdepan dakwaan ugut

Berdepan dakwaan ugut

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160726_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 27 Julai untuk sebutan hukuman seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut dan melakukan ugutan.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan tarikh itu ke atas Asnan bin Haji Laki, 41, yang berdepan dakwaan mengugut untuk mencederakan dua anggota polis dengan pisau bagi tujuan menghalang mereka daripada menangkapnya.

Dia turut berdepan dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan mengeluarkan kata-kata ancaman sambil mengayunkan pisau terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Mac 2016 di sebuah rumah di Kampung Lambak Kanan.

Fakta kes menyebut, tertuduh pada waktu kejadian pergi ke tingkat atas rumah mertuanya untuk berhadapan dengan isterinya mengenai perkahwinan mereka.

Tertuduh yang berdiri di pintu bilik tidur terus menunjukkan pisau dan mengayunkannya ke arah mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ancaman.

Mangsa mula menangis manakala anak lelakinya yang turut berada di bilik itu cuba menenangkan tertuduh.

Mangsa kemudian membuat panggilan kepada pihak polis di mana dua anggota polis diarahkan untuk pergi ke rumah tersebut.

Tertuduh telah mengacukan pisau ke arah anggota polis berkenaan yang cuba memberkasnya namun akhirnya menyerah diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA