Berdepan pelucutan kewarganegaraan

Berdepan pelucutan kewarganegaraan

SYDNEY, 24 Mei – Australia bersedia memperkenalkan undang-undang baru memerangi pengganasan, menurut Perdana Menteri Tony Abbott hari ini, dengan pakej tersebut dijangka termasuk pelucutan dua kewarganegaraan mereka yang ada kaitan dengan aktiviti terbabit.

Terdapat juga spekulasi bahawa rancangan untuk meminda undang-undang kewarganegaraan, yang diumumkan pada Februari, juga akan menjejaskan generasi kedua Australia yang hanya memiliki satu pasport.

“Sudah lama menjadi kes bahawa jika anda pernah berkhidmat dengan pasukan tentera negara yang berperang dengan Australia, anda secara automatik kehilangan kewarganegaraan,” Abbott memberitahu para wartawan.

“Mana-mana individu yang pernah berjuang dengan kumpulan pengganas di luar negara atau terbabit dalam aktiviti pengganasan di Australia secara tidak langsung dianggap mengangkat sejata menentang kami. Dan amat susah untuk dibayangkan bahawa kita masih perlu melindungi mereka yang cuba memusnahkan kita.”

Australia meningkatkan tahap ancamannya pada September lepas dan sejak itu melancarkan beberapa siri serbuan memerangi pengganasan, dengan beberapa komplot berjaya ditumpaskan tahun ini.

Canberra turut mengambil pendirian tegas ke atas warganya yang radikal di tengah-tengah kebimbangan perlepasan lebih 100 warganegara itu ke Iraq dan Syria untuk berjuang bersama-sama kumpulan jihad termasuk kumpulan Negara Islam (IS).

Abbott berkata pada Selasa lepas bahawa negara itu menolak memberi keampunan kepada mana-mana anggota kumpulan jihad yang pulang ke tanah air berikutan laporan tiga warganya yang disyaki berjuang dengan IS sedang berunding dengan kerajaan untuk pulang ke tanah air. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA