Berdisiplin dan berdikari kunci kejayaan

Berdisiplin dan berdikari kunci kejayaan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Menjadi ketua perbarisan semasa lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini, merupakan antara pengalaman berharga bagi penerima Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-5.

Pelatih 10873 Muhammad Nur Amin bin Morshidi, 17, berkata sepanjang menyertai PKBN, banyak cabaran perlu ditempuhi, lebih-lebih lagi program ini dapat melatih kedayatahanan fizikal dan mental seseorang pelatih.

Semasa ditemui selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad, PKBN Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini, hari ini, beliau turut melahirkan perasaan terkejut kerana tidak menyangka menerima anugerah sebagai Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan.

Menurut beliau, niatnya untuk masuk PKBN ini adalah untuk mendisiplinkan diri dan untuk menjadi pemimpin yang berpengalaman.

Penerima Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Pelatih 10873, Muhammad Nur Amin bin Morshidi ketika ditemu bual media.
Penerima Anugerah Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Pelatih 10873, Muhammad Nur Amin bin Morshidi ketika ditemu bual media.

Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan bahawa pengalaman menarik yang pernah diikuti ialah Outward Bound Brunei Darussalam di Daerah Temburong di mana para pelatih dilatih agar lebih berdikari dan mendisiplinkan diri.

Semasa latihan berkenaan, tambahnya, mereka juga belajar untuk menjadi belia yang sihat, aktif, yang mana setiap pagi pelatih-pelatih akan berlari pagi dan melakukan senaman dan menyertai kawad.

Menyentuh mengenai rancangannya selepas ini, Awang Muhammad Nur Amin memberitahu beliau akan mencapai cita-citanya melanjutkan pelajarannya di Sekolah Teknikal dalam bahagian ‘Aircraft Engineering’ dan ingin menjadi seorang tentera.

Beliau turut menasihati pelatih-pelatih baru yang mengikuti PKBN supaya akan sentiasa mengikut arahan ketua, menghormati mereka, dan cuba belajar mendisiplinkan diri.

Manakala itu, penerima anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Pelatih 10967, Alana binti Pergi, 17, turut meluahkan perasaan bersyukur dan tidak menyangka kerana mendapat anugerah berkenaan.

Penerima Anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, pelatih 10967, Alana binti Pergi.
Penerima Anugerah Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, pelatih 10967, Alana binti Pergi.

Menceritakan pengalaman sepanjang mengikuti program berkenaan, beliau berkata mereka perlu membuat apa yang disuruh dan mesti berdisiplin, sentiasa mengikut arahan dan menepati masa, selalu menjadi sukarelawan jika terdapat sebarang aktiviti yang diadakan.

Menurutnya lagi, memasuki program latihan ini amat menyeronokkan terutama sekali dapat bertemu dengan kawan-kawan baru di samping mendapat pengalaman bersama-sama, manakala cabaran dan dugaan yang pernah ditempuhi adalah semasa mula masuk PKBN kerana terdapatnya banyak saingan antara kawan-kawan baru.

Atas nasihat dan teguran daripada pelatih-pelatih yang lain, mereka dapat bersatu padu dan bekerjasama dalam menjalani latihan selama tiga bulan, jelasnya lagi.

Selepas menjalani latihan tersebut, Dayang Alana akan menyambung pelajarannya dan mengambil subjek Sains dan Teknologi di Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA