Berdych enggan ambil risiko di Rio

Berdych enggan ambil risiko di Rio

pg23_160721_b

WASHINGTON, 20 Julai – Bintang tenis, Tomas Berdych (atas) lebih rela tidak beraksi di Olimpik Rio, Brazil berbanding terdedah kepada risiko dijangkiti virus Zika dan melahirkan anak kurang sempurna.

Pemain berusia 30 tahun dari Republik Czech itu yang meraikan ulang tahun pertama perkahwinannya dengan iste-rinya, Ester minggu lalu berkata ketika dia masih menjangkakan untuk bermain selama beberapa tahun, keluarga akan menjadi keutamaan lebih daripada apa saja.

“Saya mungkin hidup selama 60 tahun lagi. Jika sesuatu berlaku, kami akan mengharunginya sepanjang hidup dengannya. Bagi satu minggu, satu kejohanan, kamu mungkin akan memiliki kehidupan yang sedih,” kata Berdych.

“Kerana itu, sekali pun risikonya mungkin kecil, saya perlu memastikannya. Hanya kerana satu minggu, untuk memberikan lebih banyak masalah, tidak.”

Virus bawaan nyamuk, Zika mampu menjadi penyebab kepada beberapa penyakit yang teruk dan turut dikaitkan dengan kecacatan pada kelahiran sekali gus menyebabkan ramai bintang sukan dunia menarik diri daripada beraksi di Rio.

“Ia adalah keputusan peribadi saya,” kata Berdych. “Terdapat banyak pandangan mengenai perkara ini. Saya berharap orang ramai dapat menerima keputusan saya ini, iaitu berdasarkan fakta yang diperoleh.”

Berdych yang ketika ini menghuni ranking kelapan dunia menyertai bintang Kanada yang juga pemain di ranking ketujuh, Milos Raonic dan pemain di ranking sembilan dunia, Dominic Thiem dari Austria menarik diri daripada beraksi di Rio.

Berdych mengumumkan keputusannya tidak beraksi di Rio pada minggu lalu selepas turut menarik diri daripada beraksi di kejohanan ATP dan WTA Terbuka Washington disebabkan kepenatan. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA