Berdych tarik diri dari Rio

Berdych tarik diri dari Rio

PRAGUE, 17 Julai – Pemain tenis di ranking lapan dunia, Tomas Berdych menarik diri daripada beraksi di Sukan Olimpik, Rio, Brazil bulan depan disebabkan kebimbangan penularan virus Zika.

Tindakan pemain Republik Czech itu mengikuti jejak langkah seorang lagi pemain di ranking 10 teratas dunia, Milos Raonic dan Simona Halep yang turut membuat keputusan menarik diri atas kebimbangan membabitkan kesihatan.

“Saya meminta maaf kerana mengumumkan yang saya tidak akan me-ngambil bahagian dalam Sukan Olimpik musim panas tahun ini di Rio de Janeiro,” kata Berdych yang mara ke peringkat separuh akhir Wimbledon, minggu lalu menerusi Twitter.

“Ia disebabkan oleh virus Zika yang merebak di negara yang menganjurkan Olimpik.

“Saya baru saja berkeluarga, jadi untuk mengurangkan risiko bersama orang paling rapat dengan saya adalah keutamaan.”

Aksi Berdych ketika menentang Nick Kyrgios pada perlawanan yang lalu. Berdych menarik diri daripada beraksi di Sukan Olimpik, Rio, Brazil bulan depan disebabkan kebimbangan penularan virus Zika. – AFP
Aksi Berdych ketika menentang Nick Kyrgios pada perlawanan yang lalu. Berdych menarik diri daripada beraksi di Sukan Olimpik, Rio, Brazil bulan depan disebabkan kebimbangan penularan virus Zika. – AFP

Berdych, 30 yang berkahwin dengan model, Ester Satorova tahun lalu turut tidak beraksi dalam kejohanan Piala Davis ketika Republik Czech bertemu Perancis, semalam.

Negaranya ketika ini ketinggalan 2-1 kepada Perancis. Penarikan diri Berdych mengikuti jejak langkah beberapa bintang tenis yang turut enggan beraksi di Rio atas kebimbangan yang sama.

Jumaat lalu, naib juara Wimbledon dan pemain nombor tujuh dunia dari Kanada, Raonic dan pemain tenis wanita nombor lima dunia, Simona Halep juga mengumumkan mereka tidak akan membuat kunjungan ke Rio.

Selain itu, pemain Amerika Syarikat (AS) John Isner, pemain Austria, Dominic Thiem dan dua pemain Australia, Bernard Tomic dan Nick Kyrgios serta pemain veteran Sepanyol, Feliciano Lopez juga mengesahkan tidak akan beraksi di Olimpik atas pelbagai sebab.

Bekas pemenang Terbuka Perancis, Francesca Schiavone juga menolak peluang untuk bermain manakala bintang Russia, Maria Sharapova dan Victoria Azarenka juga tidak akan bermain. – AFP