Beregu lelaki Malaysia mara ke final

Beregu lelaki Malaysia mara ke final

RIO DE JANEIRO, 17 Ogos – Pasangan beregu Malaysia Goh V Shem-Tan Wee Kiong mempamerkan keberanian luar biasa untuk mara ke final acara badminton beregu lelaki di Sukan Olimpik Rio di sini pada hari ini.

Perlawanan mendebarkan pada separuh akhir menentang pasangan dari China, Chai Biao-Hong Wei menyaksikan pemain Malaysia memenangi perlawanan dengan aksi penentuan 21-18, 12-21, 21-17 dalam masa 64 minit. V Shem berkata walaupun pingat perak berada dalam genggaman, mereka ingin menyasarkan emas dan kini akan memberikan fokus terhadap final.

“Kami mempunyai pingat dalam tangan tetapi kami mahukan emas,” katanya. V Shem-Wee Kiong menjadi beregu lelaki pertama Malaysia mendapat tempat di final selepas Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock memenangi perak pada 1996 di Sukan Olimpik Atlanta.

“Saya sangat gembira kami layak ke final…inilah saat yang kami nanti-nantikan. Kami ada membuat beberapa kesilapan, terutamanya pada perlawanan kedua, tetapi keazaman kami untuk ke final sangat kuat,” kata Wee Kiong.

pg24_160818_olympic logo

Pasangan beregu lelaki Malaysia Tan Wee Kiong (kiri) dan pasangannya Goh V Shem meraikan kejayaan mereka menumpaskan beregu China Chai Bioa dan Hong Wei ketika perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4 pada Sukan Olimpik Rio 2016. – Bernama
Pasangan beregu lelaki Malaysia Tan Wee Kiong (kiri) dan pasangannya Goh V Shem meraikan kejayaan mereka menumpaskan beregu China Chai Bioa dan Hong Wei ketika perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4 pada Sukan Olimpik Rio 2016. – Bernama

Pasangan beregu itu berkemungkinan bertemu satu lagi pasangan dari China, iaitu pemain nombor empat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan di final pada Jumaat. Pemain China itu akan bertemu Marcus Ellis-Chris Langridge dari Britain pada separuh akhir lewat hari ini (waktu di Rio).

Dalam perlawanan itu, pemain Malaysia mendahului 11-8 sebelum pasangan dari China itu bertenaga semula untuk mengikat perlawanan 15-15 sebelum V Shem-Wee Kiong menyerang untuk menang 21-18.

China kemudian selangkah ke hadapan pada set kedua dan mendahului 11-8 sebelum mengakhiri permainan dengan 21-12 untuk mengikat kepada perlawanan penentuan.

Pasangan China itu mendahului dengan lima mata 11-6 pada pertengahan perlawanan sebelum V Shem-Wee Kiong bangkit untuk membuat aksi serangan dan dengan bangganya mara ke final. – Bernama