Beregu M’sia mara ke final Rio

Beregu M’sia mara ke final Rio

RIO DE JANEIRO, 16 Ogos – Hanya satu lagi halangan untuk beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meraih pingat emas Olimpik selepas mencipta sejarah mara ke final Sukan Olimpik Rio, pada Isnin.

Gandingan itu mencetuskan suasana meriah di Pavilion 4, Riocentro, apabila menjinakkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012, Chen Xu-Ma Jin 21-12, 21-19 dalam aksi 45 minit yang mendebarkan, sekali gus menjadi beregu campuran pertama Malaysia mara ke final kejohanan utama.

Peng Soon-Liu Ying jelas tampil bersemangat apabila mudah memenangi set pertama 21-12, sebelum lawan mereka yang juga pasangan nombor enam dunia itu dijangka bangkit untuk memaksa pertarungan diheret ke rubber set.Sebaliknya, Peng Soon-Liu Ying, beregu ranking ke-11 dunia, terus memperkemaskan permainan mereka dan mendahului 17-14 di set kedua sebelum pasangan China itu merapatkan kedudukan 20-19 berikutan beberapa kesilapan mudah daripada Liu Ying di depan jaring.

pg23_160817_olympic logo

Chan Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying meraikan kejayaan mereka menewaskan beregu China Xu Chen dan Ma Jin dan melayakkan mereka ke peringkat akhir selepas perlawanan separuh akhir beregu campuran sempena Sukan Olimpik Rio 2016 di Riocentro Pavilion 4 kelmarin. – Bernama
Chan Peng Soon (kanan) dan Goh Liu Ying meraikan kejayaan mereka menewaskan beregu China Xu Chen dan Ma Jin dan melayakkan mereka ke peringkat akhir selepas perlawanan separuh akhir beregu campuran sempena Sukan Olimpik Rio 2016 di Riocentro Pavilion 4 kelmarin. – Bernama

Namun gandingan pemain Malaysia itu memastikan tiket ke final dengan kemenangan 21-19, sekali gus menyaksikan Peng Soon-Liu Ying meluru dan memeluk jurulatih mereka, Jeremy Gan dan Chin Eei Hui. Di final pada Rabu, Peng Soon-Liu Ying akan menentang juara dunia 2013 yang juga pasangan nombor tiga dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia yang menewaskan mereka 21-15, 21-11 dalam aksi Kumpulan C, Sabtu lepas.

“Kami masih tidak percaya dengan keputusan ini dan dapat mara ke final. Kami sememangnya mengimpikannya dan kini ia menjadi kenyataan…ia cukup hebat,” kata Peng Soon.

Menurutnya, pasangan China tersebut agak tertekan berbanding mereka dan sepanjang perlawanan itu mereka sering mengingatkan satu sama lain untuk kekal fokus dan mengurangkan kesilapan.Liu Ying pula berkata mereka tidak mahu gagal selepas mara sejauh itu dan perlawanan akhir tersebut akan menjadi satu lagi cabaran besar untuk mereka selepas gandingan Indonesia berkenaan mengetepikan juara Sukan Olimpik 2012, Zhang Nan-Zhao Yunlei. – Bernama