Berek rosak akibat kebakaran

Berek rosak akibat kebakaran

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 10 Jun – Beberapa unit rumah berek kerajaan di Jalan Singa Menteri, Kuala Belait terjejas dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.

Balai Bomba Kuala Belait telah mengerahkan anggota dan jentera bomba termasuk sebuah dari Seria, dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Bomba Kuala Belait, Awang Zulkefli Bin Alimas setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.56 pagi.

Awang Zulkefli memberitahu Media Permata, kebakaran dipercayai bermula di Unit B9 blok bangunan nombor 696 di mana tiga buah unit rumah yang lain juga terjejas akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, salah seorang jiran, Awang Laksamana bin Awang Tuah memberitahu beliau mendengar jeritan meminta tolong dan mendapati jendela salah sebuah unit rumah itu dijilat api.

Anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Belait berusaha memadamkan api
Anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Belait berusaha memadamkan api

Tanpa membuang masa beliau bersama bapa saudaranya terus membantu memadamkan api dengan menggunakan hos berdekatan tatkala menunggu kedatangan pasukan bomba.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berikutan kejadian kebakaran tersebut, dan ketika ini punca kejadian masih dalam siasatan.

ARTIKEL YANG SAMA