Berenang lewat malam, wanita maut disambar buaya

Berenang lewat malam, wanita maut disambar buaya

SYDNEY, 30 Mei – Seorang wanita dikhuatiri mati selepas diserang seekor buaya ketika berenang pada lewat malam dengan rakannya di pantai dekat utara Australia, kata polis semalam.

Dua wanita berusia 40an itu dikatakan berjalan-jalan di Pantai Thornton petang semalam di pedalaman utara Queensland sebelum membuat keputusan untuk berenang di kawasan yang diketahui penuh dengan buaya.

“Ketika kejadian, wanita itu berenang bersama seorang rakan perempuan pada jam 10:30 malam,” kata polis dalam satu kenyataan.

Konstabel Kanan, Russell Parker, berkata wanita dipercayai pelancong dari Australia itu berada di dalam air apabila salah seorang daripada mereka disambar buaya dengan rakannya cuba sedaya upaya menarik mangsa.

Seorang wanita dikhuatiri mati selepas diserang seekor buaya ketika berenang pada lewat malam dengan rakannya di pantai dekat utara Australia kelmarin. - AFP
Seorang wanita dikhuatiri mati selepas diserang seekor buaya ketika berenang pada lewat malam dengan rakannya di pantai dekat utara Australia kelmarin. – AFP

“Rakannya cuba mengheret beliau ke pantai tetapi malangnya tidak mampu berbuat demikian dan wanita itu kemudiannya hilang,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

Sebuah helikopter penyelamat lengkap dengan peralatan pengimejan haba dihantar namun gagal mengesan mangsa. Parker berkata, wanita yang terselamat itu mengalami luka kecil dan masih ketakutan serta sangat terkejut.

Serangan itu bukan yang pertama terjadi di kawasan itu. Buaya gergasi dikenali sebagai ‘Big Jim’ teleh menyerang pekerja tempatan pos Beryl Wruck pada tahun 1985 apabila dia berenang pada lewat malam, iaitu kira-kira satu jam memandu dari Pantai Thornton. – AFP