Berentap di wilayah Labuan

Berentap di wilayah Labuan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) Negara Brunei Darussalam telah menghantar lima pasukan untuk menyertai Kejohanan Boling Padang Pairs Piala Ahli Parlimen Labuan Sempena Sukan Laut Antarabangsa 2016 yang bermula hari ini hingga 1 Mei di Arena Boling Padang Antarabangsa Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia.

Pada kejohanan kali ini, WBC diwakili oleh 10 orang pemain yang terdiri daripada dua pasukan senior, satu pasukan pelapis dan dua pasukan remaja di bawah bimbingan Ketua Jurulatih WBC, Haji Abdul Ghafar bin Pehin Orang Kaya Laksamana Haji Mohd Taha.

Penyertaan dua pasukan remaja pada kali ini merupakan penampilan mereka yang pertama di peringkat antarabangsa dan menjadi hasrat WBC agar penyertaan mereka ini akan menjadi satu pendedahan yang berharga di samping menimba sebanyak mungkin pengalaman bersaing dengan para pemain yang jauh lebih berpengalaman dalam sukan boling padang.

Sementara itu, WBC turut mempertaruhkan dua pemain pelapisnya, Awang Muhd Arif Haji Amli yang bergandingan dengan Awang Muhd Waie Badiuzzaman Ahmad yang pernah memenangi pingat gangsa di kejohanan Asia Bowls kategori remaja bawah 25 tahun dengan meletakkan sasaran awal untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Pemain WBC bergambar ramai di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan selepas menjalani sesi latihan menjelang kejohanan.
Pemain WBC bergambar ramai di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan selepas menjalani sesi latihan menjelang kejohanan.

Sekalipun persiapan dan latihan sudah dibuat sejak dua bulan yang lepas namun WBC tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada kejohanan kali ini memandangkan penyertaan pasukan luar yang dijangka akan menyukarkan peluang dalam perebutan gelaran juara.

Selain pasukan dari Brunei, kejohanan ini turut disertai oleh beberapa pasukan dari Semenanjung Malaysia, Singapura, China termasuk Negeri Sabah, Sarawak dan tuan rumah Labuan.

ARTIKEL YANG SAMA