Berfikiran lebih positif

Berfikiran lebih positif

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Jan – Tahun baru mampu memberi nafas baru serta semangat yang waja untuk merubah hidup sendiri agar menjadi seorang insan yang lebih baik bagi diri sendiri dan juga bagi kebaikan keluarga dan masyarakat.

Dalam menyambut kedatangan Tahun Baru 2016 ini Media Permata mengambil kesempatan untuk menemu ramah segelintir pemimpin-pemimpin masyarakat yang di Daerah Belait di sini bagi mendapatkan pendapat serta azam baru mereka terhadap masyarakat di bawah kawasan dan pimpinan mereka.

Salah seorang yang ditemui ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin berkata, dengan lembaran baru tahun 2016 ini beliau melahirkan harapan agar para penduduk di Kampung Mumong akan dapat melengkapkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat.

“Sebagai individu yang mempunyai peranan sendiri dalam masyarakat kampung, penduduk-penduduk seharusnya meninggalkan sikap negatif dan meningkatkan sikap positif dalam urusan seharian,” ujar beliau.

Yang Berhormat juga menyarankan penduduk serta masyarakat ramai agar hidup dengan lebih berjimat cermat dan berbelanja serta membantu tingkatkan ekonomi keluarga dan negara ‘kitani’ dengan tekad untuk mencapai Wawasan 2035.

Haji Jamail ketika ditemui oleh Media Permata.
Haji Jamail ketika ditemui oleh Media Permata.

Manakala itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad pula memanjatkan doa supaya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memimpin Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berjalan lancar kerana ingin melihat negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan damai, penuh selamat dan sejahtera.

“Lebih-lebih lagi dengan penglibatan penduduk kampung dalam sama-sama membantu pihak keselamatan mengawasi keamanan di mukim dan kampung di seluruh negara ini.

“Saya berharap ianya (kadar jenayah) akan berkurangan dan di samping itu juga, saya berharap mereka (kakitangan serta penjawat kerajaan) yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mentadbir negara akan berubah ‘mindset’ untuk mendengar cadangan serta pandangan orang-orang di bawah seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli,” luah beliau.

Sementara itu, Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap pula melahirkan harapan agar penduduk di seluruh negara ini meningkatkan ketekunan dalam pekerjaan masing-masing, rajin berusaha dalam meningkatkan prestasi kerjaya masing-masing “juga ‘membisaikan ulah’ semasa bekerja dan berubah untuk kebaikan agar dapat membantu negara mencapai Wawasan 2035 nanti”.

ARTIKEL YANG SAMA