Bergabung menghadapi cengkaman penjahat

SELAMA 25 tahun menjadi hiburan kepada pengikut setia Sonic the Hedgehog yang mula diperkenalkan pada tahun 1991 dalam dunia permainan video.

Ternyata karakter yang memiliki kuasa bergerak secara pantas dan penampilan berwarna biru itu memiliki penggemarnya sendiri sehingga pihak Sonic Team bekerjasama dengan Sega menghasilkan siri permainan video terbaru berjudul Sonic Forces.

Sebagaimana dalam siri terdahulu, Sonic kembali beraksi untuk mematahkan sebarang aktiviti jahat yang dilakukan oleh Doktor Eggman yang berusaha untuk menakluki dunia dengan bantuan tentera robotnya dan kali ini juga turut dibantu oleh satu kuasa jahat baru dikenali sebagai Infinite.

Kembali beraksi menegakkan keamanan

Tindakan Doktor Eggman yang turut bekerjasama dengan Shadow the Hedgehog, Metal Sonic, Chaos, Zavok dan satu kuasa jahat yang baru bernama Infinite telah menyebabkan keadaan huru-hara yang secara tidak langsung turut menyeru Sonic untuk berusaha mengembalikan keamanan di tempat tersebut.

Mod Klasik juga turut dimuatkan dalam Sonic Forces bagi mengimbau kembali populariti permainan video ini.

Bagaimanapun ternyata gabungan kuasa jahat yang telah ditubuhkan oleh Doctor Eggman itu begitu kuat sehingga menyebabkan wira yang terkenal dengan kuasa pantas itu telah ditangkap.

Kehilangan Sonic selama enam bulan itu telah menimbulkan syak wasangka di dalam diri rakan-rakannya seperti Knuckles, Tails dan seorang ahli baru, Rookie untuk mengembara demi menyelamatkan rakan mereka itu.

Setelah Sonic berjaya dibebaskan, dia kembali mengetuai kumpulan yang turut disertai oleh rakan-rakannya itu dan bergabung bersama untuk membanteras sebarang aktiviti jahat yang diusahakan oleh Doktor Eggman dan rakan-rakannya.

Corak permainan menarik

Menariknya dalam Sonic Forces ini turut menawarkan dua mod mainan iaitu dari sudut Moden dan juga Klasik.

Sebagaimana di dalam siri permainan video Sonic terdahulu, para pemain juga harus mengawal karakter berwarna biru itu untuk melalui sebuah pengembaraan di mana pemain turut berhadapan dengan pelbagai halangan terutama daripada penjaga robot yang dicipta oleh Doktor Eggman yang ditugaskan untuk mengawal sesebuah kawasan daripada sebarang serangan yang dilakukan oleh Sonic dan rakan-rakannya.

Dalam setiap pengembaraan tersebut, para pemain juga harus mengumpulkan setiap cincin emas yang berfungsi sebagai hayat kepada karakter yang dimainkan.

Sonic harus bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk mengembalikan suasana dunia yang aman dalam Sonic Forces.
Doktor Eggman merupakan antogonis utama dalam Sonic Forces.

Pemain harus menyedari bahawa setiap kali karakter yang dimainkan itu terkena serangan maka secara automatiknya juga akan mengurangkan jumlah cincin emas yang terkumpul dan dari situ pengumpulannya merupakan satu aktiviti yang penting untuk dilakukan.

Dalam mod Moden, Sonic akan berpeluang untuk melancarkan serangan secara bertalu-talu dengan bantuan daripada kuasa White Wisps yang dikumpulkan.

Manakala dalam mod Klasik pula, karakter Sonic yang dikawal akan dapat menggunakan teknik Spin Dash ketika melakukan serangan terhadap pihak musuh.

Di samping itu, pemain juga berpeluang untuk mencipta watak sendiri melalui konsep Avatar yang diperkenalkan di mana pemain bebas untuk memilih senjata merangkumi alat penyembur api, cambuk dan juga tukul yang cukup berguna ketika melalui pengembaraan yang cukup mencabar di dalam permainan video ini.

Lebih menarik lagi apabila pemain juga turut berpeluang untuk bermain secara Tag-Team sekali gus dapat mengawal sendiri karakter-karakter lain yang turut ditawarkan di dalam permainan video ini.

Justeru, sekiranya pemain berhasrat untuk melalui satu aksi pengembaraan yang mencabar dan sangat menghiburkan jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Sonic Forces yang dikeluarkan untuk pelantar Playstation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan juga Microsoft Windows.