Bergaduh kerana ayam laga

Bergaduh kerana ayam laga

KANGAR, 6 Okt – Seorang pemuda nyaris ditembak bekas bapa tirinya yang merupakan seorang nelayan warga Thailand, berpunca daripada seekor ayam laga, di Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis beberapa hari lepas.

Warga Thai berumur 46 tahun itu dilapor menggunakan laluan laut dari Puju dekat Setoi untuk ke Kuala Perlis bagi melakukan angkara tersebut.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata nelayan tersebut  dilapor merasa tidak berpuas hati setelah bekas anak tirinya itu meminta dia memulangkan semula ayam laga milik pemuda tersebut yang didakwa telah dicuri warga asing berkenaan.

Beliau berkata pihak polis yang sedang membuat rondaan di kampung tersebut telah dimaklumkan bahawa pergaduhan sedang berlaku antara dua individu di dalam sebuah rumah.

“Suspek yang sedar dengan kehadiran anggota polis, kemudian bertindak lari ke botnya untuk pulang semula ke Thailand.

“Mangsa bernasib baik kerana berjaya melarikan diri ketika suspek mengacukan pistol kepadanya.

“Pihak polis sempat mengejar dan menahan suspek, namun dia bertindak agresif dan berlaku pergelutan antaranya dengan pihak polis di dalam bot suspek,” kata Ab Rashid pada sidang media di sini hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA