Berganding bahu bersih kubur

Berganding bahu bersih kubur

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Jun – Sudah menjadi kelaziman setiap kali menjelang bulan Ramadan, kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan diadakan bagi mengingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah, dan tahun ini juga tidak terkecuali dengan pelbagai pihak bergotong-royong melakukan kerja penuh kebajikan itu.

Anggota Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Lumut dengan kerjasama kalangan penduduk Kampung Labi 1, turut bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam di Kampung Tenajur, Mukim Labi.

Lebih 30 anggota polis keselamatan, empat anggota Balai Polis Labi dan dua warga unit perhubungan dan penduduk kampung yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Inspektor Haji Kaffli bin Lidus, terlibat dalam kerja gotong-royong berkenaan. Turut hadir ialah Ketua Kampung Labi 1 merangkap Pemangku Penghulu Mukim Labi, Awang Hanafi bin Mohd Siput.

Kerja-kerja pembersihan berkenaan disusuli dengan bacaan Tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Labi, Awang Mohd Nazelley bin Noorashid.

Dalam pada itu, di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Polis Brunei Muara melalui Balai Polis Sengkurong dengan Pengawasan Kejiranan Kampung Kulapis, baru-baru ini, juga telah mengadakan aktiviti seumpamanya di Tanah Perkuburan Larikan, Kampung Kulapis.

Bergotong royong membersihkan kubur.
Bergotong royong membersihkan kubur.
Bacaan Tahlil dan doa arwah selepas kerja-kerja pembersihan di tanah perkuburan Kampung Tenajur, dipimpin oleh Awang Mohd Nazelley.
Bacaan Tahlil dan doa arwah selepas kerja-kerja pembersihan di tanah perkuburan Kampung Tenajur, dipimpin oleh Awang Mohd Nazelley.

Kerja gotong-royong berkenaan melibatkan 15 anggota Balai Polis Sengkuroang, dan 25 ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Kulapis.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Kulapis, Haji Timur bin Haji Limbang dan Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Sengkurong.

Daerah Polis Tutong turut mengadakan aktiviti yang sama iaitu membersihkan Tanah Perkuburan Kampung Lamunin, Daerah Tutong, melibatkan 20 anggota Balai Polis Lamunin serta 30 ahli Pengawasan Kejiranan.

Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Chipli bin Haji Mohammad; Penghulu Mukim Lamunin, Haji Tujoh bin Talip; Ketua Kampung Lamunin, Awang Said bin Tinggal; Ketua Kampung Bukit Sulang, Haji Roslee bin Haji Ahad dan Pegawai Penguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhammad Adzimin bin Haji Ibrahim.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei itu adalah sebagai salah satu aktiviti kebajikan ahli pengawasan kejiranan sebelum bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.