Berganding bahu jaga keamanan

Berganding bahu jaga keamanan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000 setakat ini telah mempunyai seramai 34 orang ahli pengawasan kejiranan, dan setiap kali rondaan dilakukan di persekitaran kampung berkenaan, penyertaan semakin bertambah seterusnya menjadi ahli jawatankuasa.

Pengerusi Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000, Haji Hassan bin Tuah menyatakan, selain penyertaan keahlian yang begitu menggalakkan, mereka juga menunjukkan sikap bekerjasama, hormat-menghormati dan berdisiplin.

Menyampaikan ucapan alu-aluannya, pada Majlis Penyampaian Sijil Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Rendah Panaga di sini, hari ini, beliau juga berkata, ahli-ahli pengawasan kejiranan di kampung itu juga menunjukkan komitmen yang tinggi, setiap kali menyertai rondaan pengawasan, termasuk dalam tugasan pemeriksaan ke atas individu pesalah dengan sikap yang berhemah.

Haji Hassan juga menyatakan, dengan tertubuhnya pengawasan kejiranan, sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan kadar jenayah dari semasa ke semasa di kawasan kampung berkenaan.

“Tugas-tugas ahli pengawasan kejiranan termasuklah bagi memenuhi hasrat penduduk kampung yang meminta bantuan mengawasi rumah-rumah mereka semasa ketiadaan seperti pergi keluar negara dan sebagainya, serta menangani sebarang aduan penduduk bagi ketenteraman dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Haji Hassan menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Yusof.
Haji Hassan menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Yusof.
Antara ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000 yang turut menerima sijil disampaikan tetamu kehormat.
Antara ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000 yang turut menerima sijil disampaikan tetamu kehormat.
Antara yang menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000.
Antara yang menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000.

Beliau turut melahirkan harapan supaya semua ahli Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000 akan terus komited dan mampu menjalankan tugas dengan amanah semata-mata untuk membantu mengawal keamanan dan keselamatan penduduk di kampung itu.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada ahli-ahli pada majlis itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Turut hadir ialah Pegawai Penguasa Balai Polis Seria P/ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abd Aziz, Penolong Pegawai Penguasa Seria P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah, Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap, serta ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Rancangan Perumahan Kampung Panaga 2000.

Majlis tersebut antara lain sebagai tanda penghargaan kepada ahli-ahli pengawasan kejiranan yang secara sukarela telah menyumbangkan khidmat bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan keamanan penduduk di kampung itu terjamin, selain menambah eratkan lagi hubungan silaturahim di antara ahli-ahli dan para pegawai serta anggota polis Daerah Belait.

Majlis turut menyaksikan tayangan video, yang mengimbau penubuhan Pengawasan Kejiranan Kampung Panaga 2000, aktiviti-aktiviti rondaan dan pemeriksaan, muzakarah dan perbincangan yang diadakan sepanjang tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA