Berganding bahu teroka bidang agrimakanan

Berganding bahu teroka bidang agrimakanan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Berbekal semangat untuk berjaya, lapan orang rakan daripada latar belakang yang berbeza, telah berkumpul untuk menubuhkan sebuah syarikat dan perusahaan agrimakanan.

“Kami percaya dengan keinginan dan sokongan semua pihak termasuk Darussalam Enterprise (DARe) yang banyak memberikan tunjuk ajar, kami boleh meneroka bidang perniagaan ini dan meraih kejayaan,” itulah disuarakan oleh empat orang rakan itu ketika ditemui oleh Media Permata di iCentre, Anggerek Desa, hari ini.

Empat daripada lapan orang ahli kumpulan yang ditemui itu ialah Lim Kai Woon, 25; Awang Zainulariffin Abdul Rahman, 22; Dayang Afifah Syahirah binti Abdullah Soefri, 21; dan Lim Jun Hong, 21.

Mereka telah bergabung bagi membantu merealisasikan hasrat negara untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta menyahut seruan selaku anak bangsa negara yang menyokong Wawasan 2035.

Menurut Lim Jun Hong, idea untuk meneroka bidang perniagaan lahir kira-kira setahun yang lalu semasa pertemuan di sebuah kafe selepas menamatkan pengajian.

Awang Zainulariffin (kiri), Lim Jun Hong (dua kiri), Lim Kai Woon (kanan) dan Dayang Afifah Syahirah (dua kanan), merupakan kumpulan usahawan muda tempatan yang tampil ke hadapan menyahut seruan negara bagi mempelbagaikan ekonomi negara.
Awang Zainulariffin (kiri), Lim Jun Hong (dua kiri), Lim Kai Woon (kanan) dan Dayang Afifah Syahirah (dua kanan), merupakan kumpulan usahawan muda tempatan yang tampil ke hadapan menyahut seruan negara bagi mempelbagaikan ekonomi negara.

Selepas cetusan idea itu, mereka membuat pertemuan setiap minggu untuk membincangkan idea masing-masing dengan setiap ahli mengemukakan idea dan mereka sebulat suara bersetuju untuk meneroka bidang agrimakanan sebagai bidang perusahaan pilihan.

“Walaupun kami semua mempunyai idea yang berbeza tetapi dengan kepakaran masing-masing walaupun saya yang dalam bidang arkitek, kami mampu untuk berkongsi idea, cadangan dan akhirnya bersetuju dengan pelan perniagaan serta cadangan bagi memulakan perniagaan sendiri,” kata Dayang Afifah Syahirah.

Sementara itu, Awang Zainulariffin pula berkata di peringkat awal ini, mereka sudah mempunyai modal untuk memulakan perniagaan pada fasa pertama hasil wang simpanan masing-masing yang dikumpulkan bersama.

“Kami mempunyai keinginan untuk berjaya. Walaupun ia kelihatan sukar pada peringkat awal dengan pelbagai cabaran, kami bersedia untuk menghadapinya. Jika kami berhadapan dengan kegagalan, ia satu pengajaran bagi kami dan satu dorongan untuk bangkit semula. Tiada kejayaan tanpa kegagalan,” kata Awang Zainulariffin lagi.

Beliau juga menasihati golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan agar tidak berhenti menimba ilmu pengetahuan dari apa sahaja sumber termasuk buku, Internet dan media sosial, kerana menurut beliau, walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan, hasil membaca buku pengurusan perniagaan menjadikannya lebih peka kepada bidang perniagaan.

Menurut mereka lagi, idea perniagaan telah disampaikan kepada beberapa pegawai kanan kerajaan dan juga ahli-ahli DARe di mana mereka mendapat maklum balas serta sokongan yang amat baik untuk meneruskan perniagaan itu.

Bagi mereka, kejayaan untuk menyampaikan idea dengan baik hasil daripada penyelidikan yang dibuat untuk memastikan idea itu berpotensi dan boleh dilaksanakan dan berkembang ke pasaran yang lebih luas lagi.

“Kami tahu pada peringkat awal perniagaan ini akan menumpukan kepada pasaran tempatan tetapi untuk fasa seterusnya, kami sudah membuat perancangan untuk meneroka pasaran luar negara.”

Mereka juga mengakui perjalanan mereka masih lagi di peringkat awal dan cabaran serta tekanan yang dilalui pada masa ini hanya satu permulaan tetapi mereka percaya dengan sokongan semua pihak terutama sumbangan anggota kumpulan, mereka akan dapat menempuh semua cabaran itu.

“Kami tahu kejayaan itu bukan datang secara automatik. Kami perlu terus berusaha dan tidak mudah berputus-asa. Kami juga bersedia untuk menerima kegagalan tetapi kegagalan itu tidak akan melemahkan semangat kami. Kegagalan itu akan mendorong kami untuk menjadi lebih baik.”

Menurut kumpulan usahawan muda itu lagi, dalam keadaan ekonomi yang merudum, golongan muda harus berani keluar dari zon selesa dan menerokai bidang baru di mana keadaan ekonomi pada masa ini, harus menjadi semboyan untuk berdiri dan melangkah ke alam perniagaan sebagai salah satu pilihan kerjaya.

Menjawab soalan terakhir mengenai keunikan kumpulan yang terdiri daripada golongan muda 20-an dengan latar belakang kerjaya yang berbeza, mereka berkata, “Kami secara bersendirian bukannya hebat tetapi kami adalah yang terhebat sebagai sebuah kumpulan.”

ARTIKEL YANG SAMA