Bergelut bantu 100,000 mangsa

Bergelut bantu 100,000 mangsa

MINAMI-ASO, Jepun, 18 April (AFP) – Jepun hari ini menerima bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar bekalan kepada kira-kira 100,000 orang yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi di negara selatan itu, ketika para penyelamat masih lagi mencari mangsa hilang dalam tanah runtuh besar-besaran.

Kira-kira 42 orang diketahui telah terkorban selepas gempa bumi melanda pulau Kyushu, menurut para pegawai, dan mereka yang hilang dikhuatiri tertimbus dalam rumah yang telah ditelan oleh tanah runtuh.

Sehingga 25,000 orang kakitangan mencari di sekitar kampung-kampung tempat banyak rumah tradisional ditinggalkan dalam keadaan musnah akibat gempa bumi 7.0 magnitud Sabtu lalu, yang melanda sebahagian Jepun yang tidak biasa dilanda gegaran seumpama itu.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata kerajaan berusaha keras untuk mencari mangsa-mangsa yang terselamat dan ketenteraan AS juga menghantar anggotanya dan pesawat udara bagi membantu usaha-usaha bantuan.

“Terdapat individu-individu yang masih lagi belum ditemui,” ujarnya kepada para pemberita.

Askar-askar dari Pasukan Pertahanan Darat Jepun membawa bekalan bantuan kecemasan dari pesawat Osprey AS Marin dalam usaha menyelamat di Minami-Aso, wilayah Kumamoto pada 18 April. – AFP
Askar-askar dari Pasukan Pertahanan Darat Jepun membawa bekalan bantuan kecemasan dari pesawat Osprey AS Marin dalam usaha menyelamat di Minami-Aso, wilayah Kumamoto pada 18 April. – AFP

“Kami masih terus berusaha sedaya mungkin untuk mencari dan menyelamat.”

Di Minami-Aso yang teruk terjejas, berbelas-belas tentera dari Pasukan Pertahanan Sendiri Jepun bekerjasama dengan pasukan bencana tempatan dan anjing pencari untuk mencari empat orang yang dikatakan tertimbus dalam tanah runtuh sehingga 20 meter dalamnya.

“Lumpur di sini begitu lembut dan bercampur air, dengan itu masih bergerak ke bawah ketika berlaku banyak kejutan lanjur,” seorang anggota penyelamat, Tsukasa Goto memberitahu AFP, dengan menambah kata kira-kira empat buah rumah telah hanyut.”

“Jentera berat akhirnya tiba pagi ini setelah terhalang oleh jalan raya yang pecah atau terputus.”

Seorang pegawai dari kawasan Kumamoto berkata angka mereka yang hilang telah turun kepada sembilan dari 10.

Pasukan penyelamat mengejarkan masa untuk mencari para mangsa sebelum mereka tertimbus oleh banyak lagi kejadian tanah runtuh akibat beratus-ratus kejutan lanjur yang telah menggegarkan kawasan itu.

Lebih 110,000 orang dipindahkan di Kumamoto, menurut kerajaan pusat, kebanyakan mereka terpaksa tidur di penempatan sementara atau berkumpul dalam tempat perlindungan sementara.