Bergerak dalam satu nada

Bergerak dalam satu nada

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) – Kesediaan penduduk Sarawak mempercayai antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa serta bergerak dalam satu nada untuk mencapai sesuatu bagi keuntungan bersama, membolehkan mereka bersatu.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata sikap itu sudah dipupuk dengan cermat sejak sekian lama.

“Semua usaha itu begitu bernilai kerana Sarawak kini adalah antara negeri paling aman dan bersatu,” katanya ketika mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan

Satem di Forum Antarabangsa Kuching Mengenai Perpaduan, di sini, hari ini.

Forum sehari anjuran bersama Yayasan 1Malaysia dan kerajaan negeri itu adalah sebahagian daripada program sempena perisytiharan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan yang disempurnakan semalam.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (2 kanan) menyaksikan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyampaikan deklarasi pengisytiharan Kuching Bandaraya Perpaduan kepada Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (kanan) sempena perasmian sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-27 di Stadium Perpaduan, kelmarin. – Bernama
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (2 kanan) menyaksikan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyampaikan deklarasi pengisytiharan Kuching Bandaraya Perpaduan kepada Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (kanan) sempena perasmian sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-27 di Stadium Perpaduan, kelmarin. – Bernama

“Kami percaya sikap mempercayai antara satu sama lain di kalangan pelbagai etnik harus diterap secara sukarela bukannya menerusi undang-undang.

“Ia paling penting supaya perpaduan ini menjadi asas kemajuan dan pembangunan masa depan kita,” katanya.

Abang Johari berkata ketika Sarawak di bawah jajahan British pada tahun 60-an, pentadbir British mempunyai cara unik untuk memastikan orang asli negeri itu bersatu dan ramah antara satu sama lain menerusi acara regata Sarawak supaya mereka dapat berkomunikasi secara bebas.

“Dalam acara bot panjang, sesebuah pasukan hanya boleh menaiki podium jika pendayungnya melakukan dayungan senada ke arah yang sama.

“Menggunakan analogi sama, penduduk Sarawak daripada pelbagai bangsa dan agama juga boleh mencapai matlamat bersatu, progresif dan aman dengan bergerak pada landasan sama,” katanya.

Abang Johari juga mengingatkan penduduk Sarawak untuk mengekalkan perpaduan terutama ketika ini di mana isu perkauman sengaja dibangkitkan untuk melakukan provokasi oleh pihak tertentu di negara ini.

Mengenai perisytiharan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan, beliau berkata ia dilakukan oleh Yayasan 1Malaysia yang turut membuat kajian di beberapa bandar raya di negara ini.

“Yayasan itu mempunyai kriteria ketat. Selepas kajian yang teliti, mereka memutuskan untuk menyokong Kuching menjadi yang pertama di negara ini diberikan status Bandar Raya Perpaduan.”

Katanya ia satu penghormatan tinggi kepada negeri dan bandar raya ini yang kini berkembang pesat menjadi kota kosmopolitan.