Bergotong-royong bersihkan kawasan masjid

Bergotong-royong bersihkan kawasan masjid

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KERJA gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran luar dan dalam Masjid Kampung Sungai Liang baru-baru ini telah melibatkan penyertaan kalangan penduduk kampung di mukim berkenaan di sini.

Seramai 80 orang termasuk kalangan ahli jawatankuasa takmir masjid tersebut dan penduduk kampung yang diketuai oleh Setiausaha Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Awang Haji Abu Hassan bin Haji Ibrahim telah terlibat dalam kerja gotong-royong tersebut.

Ia antara lain bertujuan mengeratkan tali siraturahim antara ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah masjid serta penduduk kampung.

Juga turut serta ialah seramai 30 anggota bomba Sungai Liang yang telah diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali bin Hassan.

Kerja gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran dalam dan luar Masjid Kampung Sungai Liang hari ini.
Kerja gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran dalam dan luar Masjid Kampung Sungai Liang hari ini.

Kempen tersebut juga merupakan aktiviti tahunan masjid berkenaan, bersempena menjelangnya bulan Ramadan, selain kerja-kerja membersihkan, aktiviti diteruskan dengan bacaan doa selamat yang telah dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sungai Liang Awang Mohd Nooraiman bin Mohd Juraimi.

Bulan Ramadan akan tiba beberapa hari sahaja lagi, dan bersempena kehadiran bulan mubarak itu, berbagai acara berkebajikan akan dan telah diadakan oleh berbagai pihak di daerah ini, seperti membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam, kempen membersihkan masjid dan majlis-majlis tahlil dan doa arwah di jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan rumah-rumah persendirian.

ARTIKEL YANG SAMA