Bergotong-royong laksana kerja berkebajikan

Bergotong-royong laksana kerja berkebajikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Menjelang kedatangan bulan Ramadan, adalah menjadi kelaziman bagi kaum Muslimin dan Muslimah mengambil kesempatan untuk menziarahi dan membuat kerja-kerja pembersihan tanah perkuburan bagi mengingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah, dengan pelbagai pihak bergotong-royong melakukan kerja penuh kebajikan itu.

Ahad lalu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampong Perpindahan Serasa, Muara dengan kerjasama sebuah syarikat swasta Information Technology Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd telah berganding bahu bersama-sama membersihkan Tanah Perkuburan Islam, di Pulau Muara Besar.

Lebih 50 orang, terdiri daripada ahli-ahli Jawankuasa Takmir Masjid Kampung Perpindahan Serasa berserta pegawai dan kakitangan ITPSS bergotong royong melakukan kerja amal tersebut. Turut hadir adalah Penasihat Kehormat AJK Takmir Masjid Kampung Serasa, Dato Seri Setia Haji Kasim bin Haji Lamat dan Pemangku Ketua Kampung Perpindahan Serasa, Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Othman.

Kerja-kerja pembersihan berkenaan disusuli dengan bacaan Tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Perpindahan Serasa, Awang Airwan bin Haji Malik.

Sementara itu, Cawangan ‘C1’ dari Pasukan Polis Diraja Brunei yang terdiri dari Polis Marin, Daerah Polis Temburong dan Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni telah mengadakan aktiviti amal iaitu membersihkan tiga kawasan tanah perkuburan orang Islam secara serentak hari ini.

Gambar ramai mereka yang terlibat dalam aktiviti bergotong-royong di Pulau Muara Besar.
Gambar ramai mereka yang terlibat dalam aktiviti bergotong-royong di Pulau Muara Besar.

Seramai 62 orang dari Polis Marin dan juga penduduk kampung membersihkan di kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Pelabuhan Muara yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Polis Marin selaku Pengerusi Cawangan ‘C1’, Penguasa Polis, Awang Matusin bin Haji Jumat.

Hadir semasa aktiviti ini juga Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang telah memberi sokongan penuh terhadap aktiviti keagamaan seumpama ini. Doa tahlil juga turut dibacakan setelah selesai membersihkan tanah perkuburan.

Dalam masa yang sama, Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni seramai 30 orang membersihkan di kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Sarai Pimping, Muara. Manakala 50 orang dari Balai Polis Temburong termasuk ahli Pengawasan Kejiranan (PK) dan juga penduduk kampung membersihkan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kg. Sibulu Daerah Temburong.

Selain daripada mengeratkan lagi hubungan antara Pasukan Polis Diraja Brunei dengan orang ramai, aktiviti ini juga bertujuan untuk meningkatkan lagi amal jariah sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan.

ARTIKEL YANG SAMA