Berhari raya bersama pelanggan

Berhari raya bersama pelanggan

Oleh Anwar Rosly & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja peluang untuk mengeratkan ikatan silaturahim dengan saudara mara dan sahabat handai tetapi juga memberi peluang syarikat-syarikat swasta menjalinkan hubungan dengan para pelanggan mereka dan penduduk setempat.

Sehubungan dengan itu, Brunei Methanol Company (BMC) dan Brunei LNG, hari ini, menyambut Hari Lebaran bersama penduduk Mukim Liang pada majlis yang berlangsung di Pusat Rekreasi Liang Lumut (LLRC).

Hadir pada majlis itu ialah kakitangan dan warga pengurusan BMC, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Daud bin Haji Jais, serta wakil dari syarikat-syairkat swasta yang lain seperti Total E & P Borneo BV.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, para pegawai jabatan-jabatan kerajaan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEBD).

Acara ini merupakan aktiviti tahunan BMC dengan Brunei LNG, yang bertujuan untuk memupuk hubungan silaturahim antara sektor swasta dan penduduk tempatan, dan juga untuk memeriahkan sambutan Hari Raya dengan penduduk sekitar.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi turut menghadiri majlis sambutan di LLRC
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi turut menghadiri majlis sambutan di LLRC
Shaikh Khalid (tiga dari kiri) bergambar ramai bersama tetamu khas yang hadir.
Shaikh Khalid (tiga dari kiri) bergambar ramai bersama tetamu khas yang hadir.
Pegawai Daerah Belait dan isteri memilih hidangan yang disajikan oleh Syarikat Serikandi di Kuala Belait.
Pegawai Daerah Belait dan isteri memilih hidangan yang disajikan oleh Syarikat Serikandi di Kuala Belait.

Sementara itu, Kumpulan Syarikat-Syarikat Serikandi di Kuala Belait adalah antara pihak swasta yang meraikan Hari Raya bukan sahaja bersama kakitangannya tetapi juga para pelanggannya dalam Majlis Rumah Terbuka yang berlangsung Restoran Serikandi, Kuala Belait, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman yang dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Ahmad.

Menurut syarikat berkenaan, majlis berkenaan merupakan acara tahunan mereka bagi memeriahkan Hari Lebaran bersama para pelanggan, serta diharap dapat merapatkan lagi silaturahim dengan pelanggan serta masyarakat.

Sebuah lagi syarikat tempatan yang tidak ketinggalan mengadakan Majlis Pejabat Terbuka bagi para pelanggan, kakitangan dan warga media tempatan ialah Concepts Computer, yang berlangsung di Tingkat Satu, Bangunan Concepts Computer Kiulap.

Bacaan doa memulakan Majlis Pejabat Terbuka Concept Computer.
Bacaan doa memulakan Majlis Pejabat Terbuka Concept Computer.

Hadir mengalu-alukan para tetamu ialah Pengarah Urusan Concept Computer, Vincent Pao dan isteri, Alice Chan.

Menurut Vincent Pao, sambutan ini amat bermakna kepada kakitangannya yang beragama Islam, lebih-lebih lagi kebanyakan pegawai dan kakitangan Concepts adalah warga tempatan dan beragama Islam.

Dengan adanya sambutan ini, ia merupakan salah satu cara untuk memberi penghargaan kepada mereka, ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA