Berhasrat harumkan negara

Berhasrat harumkan negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Peserta-peserta Negara Brunei Darussalam bukan sahaja berhasrat untuk memperbaiki kedudukan negara malahan mengharumkan nama negara semasa Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-3 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula hari ini hingga 5 September.

Sehubungan dengan itu, dua qari negara, Awang Mohammad Abu Hurairah bin Awang Ariffin yang merupakan mahasiswa Ma’had Qiraat Shubra, Al-Azhar Mesir dan Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, tenaga pengajar Sekolah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, berlepas ke Jakarta, Indonesia, hari ini.

Kedua-dua mereka diiringi oleh pengurus rombongan, Awang Adi Nuriman bin Pengarah Haji Abdullah juga selaku ketua rombongan, dan pembimbing, Haji Wasli bin Haji Abu Bakar.

Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahli keluarga mereka.

Peserta negara akan mengambil bahagian dalam dua kategori iaitu kategori menghafaz 30 Juz Al-Quran yang disertai oleh Awang Mohammad Abu Hurairah manakala Pengiran Muhammad Amirul Aiman dalam kategori Tilawah Al-Quran.

Rombongan Negara Brunei Darussalam seramai 4 orang yang diketuai oleh Awang Adi Nuriman bergambar-ramai dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama sebelum berlepas ke Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Rombongan Negara Brunei Darussalam seramai 4 orang yang diketuai oleh Awang Adi Nuriman bergambar-ramai dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama sebelum berlepas ke Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Awang Mohammad Abu Hurairah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, berkata beliau telah membuat persiapan yang intensif setelah mengetahui bahawa dia akan mewakili negara ke pertandingan itu.

Beliau menyatakan harapan untuk membuat yang terbaik semasa pertandingan itu dan mengetahui bahawa beliau akan berhadapan dengan cabaran yang hebat dari peserta-peserta antarabangsa lain yang menyertai pertandingan berkenaan.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam ke pertandingan itu merupakan yang ke-3 dengan kali pertama pada 2003 di mana peserta qariah negara berjaya mendapat tempat ke-2 manakala dalam penyertaan tahun 2013, qari negara berjaya untuk mendapat tempat ke-3.

Dengan penyertaan kali ketiga ini, bukan sahaja diharap dapat mencapai keputusan yang lebih baik malahan mampu untuk mengharumkan nama negara lagi di arena bertaraf antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA