Berhati-hati e-mel palsu guna nama bank negara

Berhati-hati e-mel palsu guna nama bank negara

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) memberi peringatan kepada orang ramai mengenai e-mel palsu menggunakan nama Bank Negara Malaysia yang kononnya mengehendaki penerima e-mel untuk klik dan memuat turun lampiran.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata orang ramai diminta tidak mengendahkan e-mel berkenaan dan tidak memuat turun lampiran terbabit. BNM sudah mengenal pasti modus operandi e-mel palsu oleh individu tertentu untuk memperdaya mangsa. Ia berkata mangsa penerima akan menerima e-mel bertajuk ‘Security Verification’, yang kononnya daripada BNM untuk memberitahu mereka bahawa terdapat bayaran yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka.

“Mangsa dikehendaki melengkapkan pengesahan keselamatan dengan memuat turun lampiran.

“Sebaik sahaja mangsa klik/memuat turun pada pautan yang disediakan, pautan tersebut akan membawa mereka ke laman sesawang palsu yang memerlukan mereka mendedahkan maklumat peribadi kewangan seperti butiran kad kredit atau kad debit atau nombor pengenalan peribadi (PIN),” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA