Berhemah di jalan raya

Berhemah di jalan raya

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Menjelang musim percutian hujung tahun ini, Khutbah Jumaat hari ini membincangkan soal keselamatan jalan raya yang sememangnya menjadi sebahagian daripada tuntutan agama.

Menurut Khatib, agama Islam mengajar umatnya supaya menanamkan dalam jiwa sifat-sifat mahmudah iaitu terpuji seperti berbuat baik, prihatin, pemedulian, bertolak ansur, bekerjasama, berkasih sayang dan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dan sebagainya.

“Sebagai pengguna jalan raya mestilah mempunyai sifat berdisiplin, hormat-menghormati, tolong-menolong apabila berlaku kerosakan kenderaan.”

Khatib seterusnya menambah, kecuaian di jalan raya boleh mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kenderaan dan ia juga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian di mana setakat ini dari Januari 2015 hingga 19 November 2015, sebanyak 31 kes kemalangan yang mengakibatkan kematian.

Sehubungan itu, Khatib menyeru untuk sama-sama mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan mengamalkan sikap bersopan santun, hormatmenghormati dan bertolak ansur di jalan raya.

Di samping berfikiran waras dan bijak dengan memberikan laluan dan ruang kepada mereka yang memerlukannya serta tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jika kita menolong dan memudahkan urusan orang lain, Allah akan menolong kita,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA