Berhemah guna peruntukan

Berhemah guna peruntukan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Projek-projek jalan raya dan penaiktarafan sistem bekalan air yang masih menjadi tanda tanya rakyat dan penduduk negara ini terjawab apabila $8.9 juta telah diperuntukkan dalam pembinaan prasarana.

Merujuk kepada perkara tersebut, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim (gambar) mewakili Zon 2, Daerah Brunei dan Muara semasa ucapan penangguhannya, menyarankan agar projek pelaksanaan dan penaiktarafan rangkaian jalan raya di negara ini dipergiatkan lagi.

Mana-mana kawasan yang padat seperti di perumahan Meragang, Tanah Jambu dan Mengkubau yang sering mengalami kesesakan terutama ketika keluar simpang serta pusing keliling Mentiri dan pusing keliling Sungai Akar perlu dinaiktaraf.

Yang Berhormat juga menyokong langkah berjimat cermat yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam perkhidmatan awam yang telah disarankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim semasa membentangkan peruntukan belanjawan Tahun Kewangan 2016-2017.

pg02_160322_a

pg01_160322_MMN_Logo

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru rakyat dan penduduk untuk sentiasa berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan dan sentiasa bijak dalam penggunaan pemberian subsidi-subsidi seperti tenaga elektrik, air, minyak, gas dan sebagaianya.

Sementara itu, Yang Berhormat Haji A.Ahmad bin Husain dalam ucapan penangguhannya pada Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari ke-12 hari ini menyentuh dua perkara iaitu mengenai gaji penghulu dan ketua kampung yang telah dihasratkan sejak lima tahun yang lalu dan kini telah direalisasikan sepenuhnya oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kedua, mengenai penganugerahan pingat dan anugerah kepada para penulis dan mereka yang berkecimpung dalam bidang seni bagi menyuntik semangat penggiat seni untuk terus memartabatkan sastera dan budaya negara.

ARTIKEL YANG SAMA