Berhentikan 6,000 pekerja selamatkan MAS

Berhentikan 6,000 pekerja selamatkan MAS

pg18_150629_a

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) – Seorang ahli akademik veteran berkata pemberhentian 6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS) dalam pelan penyusunan semula syarikat penerbangan nasional itu harus diterima sebagai ‘qada dan qadar’ oleh kakitangan terbabit kerana inilah usaha terakhir untuk menyelamatkan MAS.

Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, langkah Khazanah Nasional Berhad mengurangkan kakitangan MAS sebagai salah satu asas utama pelan itu perlu diteruskan walaupun berdepan dengan ancaman mogok oleh Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) dan tiada sebab mengapa langkah itu perlu ditarik balik.

Dr Zainal dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia berkata, pekerja sewajarnya menerima hakikat bahawa MAS secara teknikalnya telahpun muflis seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Christoph Mueller baru-baru ini dan pemberhentian pekerja adalah opsyen yang muktamad.

Lagipun, mereka yang diberhentikan mempunyai peluang pekerjaan alternatif di samping menerima pampasan sewajarnya seperti terkandung di dalam perjanjian bersama (CA) untuk kebajikan mereka, katanya kepada Bernama.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan Rabu lepas bahawa sebanyak 5,500 peluang pekerjaan ditawarkan 30 syarikat kepada kakitangan berkenaan.

Ini termasuk dua syarikat penerbangan tempatan iaitu AirAsia dan Malindo Air menawarkan peluang pekerjaan kepada 6,000 kakitangan MAS yang diberhentikan itu.

Ahmad juga berkata, pampasan dan kemudahan yang disediakan untuk kebajikan kakitangan yang tidak lagi berkhidmat dan yang masih kekal dalam MAS, menelan belanja RM1.5 bilion.

Timbalan Menteri itu juga berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan RM19.2 bilion sejak tahun 2001 hingga 2014 bagi memulihkan MAS akibat kegagalan penswastaannya pada tahun 1990-an.

Dr Zainal berkata, pemberhentian kerja adalah lumrah bagi kakitangan di syarikat-syarikat, baik swasta atau milik kerajaan sekali pun, sekiranya operasi mereka terus mengalami kerugian.

“Jadi bermakna, orang terpaksa kembali kepada menerima qada dan qadar lah,” katanya.