Berhijrah ke jalan diredai

Berhijrah ke jalan diredai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Sambutan awal Tahun Hijrah bukan hanya satu acara rutin negara setiap tahun, namun ia merupakan satu permulaan keazaman kita untuk berubah ke arah yang lebih baik, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan mencari redaNya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara itu yang menurutnya, Islam menggalakkan umatnya untuk berhijrah daripada keadaan yang tidak baik kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik.

Ini terbukti dengan hijrah Baginda Rasulullah S.A.W meninggalkan bumi kelahiran sendiri, Mekah menuju ke Madinah untuk menegakkan syiar Islam sehingga terbentuklah negara Islam pertama di Madinah yang melahirkan umat Islam bersatu padu, bersaudara, dirahmati dan menjadi contoh, malahan meraih kemakmuran yang dinikmati rakyat secara adil dan saksama, tambah khatib.

Di situ juga, Rasulullah S.A.W mengharamkan amalan riba, penipuan dan kezaliman dan segala kegiatan ekonomi yang halal dan bertepatan dengan ajaran Islam iaitu perdagangan dan penternakan amat digalakkan.

Menurut khatib lagi, peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W telah banyak memberikan pengajaran berharga dan ia adalah warisan yang tidak ternilai harganya buat umat Islam dalam usaha melahirkan Baldatun Toyyibatun Warrabun Ghafur, iaitu negara aman makmur dan mendapat keampunan serta pertolongan Allah S.W.T.

Umat Islam dapat mengambil iktibar daripada peristiwa itu yang mempamerkan kesabaran dan ketabahan hati mempertahankan cita-cita, menegakkan dakwah Islamiah walaupun mengalami kesulitan dengan penuh keyakinan, menjaga akidah dan pendirian.

“Biarpun hijrah bersama Baginda Rasulullah S.A.W sudah berakhir, namun tuntutan hijrah dalam hubungan meninggalkan segala perkara yang dilarang dan menuju ke jalan diredai Allah S.W.T berkekalan hingga hari kiamat,” tambah khatib.

Khatib juga menyeru, sempena awal Tahun Hijrah ini, umat Islam hendaklah melaksanakan hijrah dalam bentuk meninggalkan larangan Allah S.W.T dan memperkasakan diri selaku mukmin sejati dan tidak mudah tunduk dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan yang sentiasa tidak putus menyesatkan manusia.