Beri kefahama...

Beri kefahaman akan bahaya rokok

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 20 April – ‘Rokok dan Merokok Memudaratkan’ dipilih sebagai tema Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi bulan ini dengan hasrat untuk memberikan kefahaman kepada kalangan murid-murid mengenai kemudaratan rokok.

Tumpuan program di Daerah Belait bagi bulan ini adalah di Sekolah Ugama Pengiran Setia Jaya (PSJ) Pengiran Abdul Momin, Kampung Pandan yang telah melibatkan penyertaan murid-murid Pra hingga Darjah 4 sekolah itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan.

Tazkirah bertajuk ‘Rokok dan Merokok Memudaratkan’ pada program tersebut telah disampaikan oleh Guru Penolong Sekolah Ugama PSJ Pengiran Abdul Momin, Awang Johrizan bin Johari.

Beliau antara lain menekankan bahawa rokok boleh membahayakan kesihatan kerana setiap hisapan, perokok sebenarnya menyedut 4,000 bahan kimia yang terkandung dalam rokok antaranya racun anai-anai, racun rumput, racun serangga, pembersih lantai, cecair pemetik api, minyak roket, minyak tar jalan raya dan sebagainya yang boleh membunuh dan mendatangkan pelbagai jenis penyakit seperti kanser paru-paru, kanser mulut, katarak, ulser perut, penyakit jantung, strok dan sebagainya.

Tazkirah Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab telah disampaikan oleh Awang Johrizan.
Tazkirah Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab telah disampaikan oleh Awang Johrizan.
Bacaan selawat-selawat ke atas Nabi daripada murid-murid yang menghadiri program tersebut.
Bacaan selawat-selawat ke atas Nabi daripada murid-murid yang menghadiri program tersebut.

“Larangan merokok bukanlah semata-mata menitikberatkan soal kemudaratan terhadap kesihatan perokok dan orang persekitarannya, bahkan adalah bagi mengelakkan perokok dalam kalangan umat Islam daripada terus berbuat dosa.

“Perokok-perokok tentu tertanya-tanya, mengapa merokok boleh mendatangkan dosa pada dirinya sendiri dari segi syarak? Ini kerana larangan menghindarkan mudarat atau bahaya tidak dipatuhi, sedangkan Islam sangat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya,” jelas Awang Johrizan.

Terdahulu, acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan penyampaian tazkirah diikuti dengan bacaan selawat beramai-ramai serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Penolong Guru Besar, Haji Mohd Faizal bin Haji Abdullah.

Tema yang dipilih bagi program bulan ini adalah untuk memberikan kefahaman kepada murid-murid tentang bahayanya rokok dan agama Islam melarang keras umatnya melakukan apa jua perkara yang membinasakan diri.

Di samping membahayakan dan membinasakan, merokok juga jelas satu pembaziran yang mana melakukan sesuatu yang membahayakan dan pembaziran adalah haram dari hukum syarak.

ARTIKEL YANG SAMA