Beri kepercayaan memimpin

Beri kepercayaan memimpin

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 3 Mei – Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong baru-baru ini, telah mengadakan majlis pelantikan pemimpin pelajar baru bagi tahun 2016/2017, di Dewan Serba guna PTE berkenaan.

Pada majlis itu, surat lantikan kepada 50 pemimpin pelajar baru yang mana masing-masing 25 pelajar dipilih bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) 2016/2017 telah disampaikan oleh Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.

Kaunselor PTE Tutong, Dayang Norhaslinda binti Haji Mohd Adnan selaku penyelaras bersama program pemilihan pemimpin pelajar semasa menyampaikan ucapannya pada majlis itu berkata, pemilihan para pemimpin dilakukan dengan cara yang ketat dan memerlukan kerja yang banyak dalam mencari pelajar yang lebih berkualiti dan berkarisma mengikut kriteria dan aktiviti penilaian yang lebih sistematik.

Menurutnya lagi, pihak sekolah juga mementingkan pelajar-pelajar yang mempunyai potensi kepimpinan dengan bakat serta kemahiran yang lebih terserlah dalam menyertai aktiviti-aktiviti sekolah.

Manakala itu, Ketua Unit Perkembangan Pelajar (SLD) sekolah tersebut, Sherman Tan turut mengatakan ketika membuat pemilihan Yang Di-Pertua, SLD telah menggunakan ujian psikometri yang merupakan kaedah terbaru dalam menguji kemahiran kepimpinan yang berbeza dan diikuti dengan kaedah temu bual dengan calon-calon terbaik yang disenarai pendek.

Awang Syafi’e (tiga, kanan) diumumkan sebagai Yang Di-Pertua MPP 2016/2017, dan Awang Mohd Khairulazmin (dua, kanan) sebagai Yang Di-Pertua PRR 2016/2017.
Awang Syafi’e (tiga, kanan) diumumkan sebagai Yang Di-Pertua MPP 2016/2017, dan Awang Mohd Khairulazmin (dua, kanan) sebagai Yang Di-Pertua PRR 2016/2017.
Lantikan baru ahli MPP dan PRR bergambar ramai bersama guru-guru PTE Tutong.
Lantikan baru ahli MPP dan PRR bergambar ramai bersama guru-guru PTE Tutong.

Pada pelantikan itu, Awang Syafi’e bin Haji Sabrin telah diumumkan sebagai Yang Di-Pertua MPP 2016/2017, bagi menggantikan Awang Mohd Amirul Hakim bin Hamid manakala, Awang Mohd Khairulazmin bin Haji Mohd Deli menggantikan Awang Mohd Wafiy Fikri bin Ariffin sebagai Yang Di-Pertua PRR 2016/2017.

Awang Syafi’e merupakan pelajar terbaik secara keseluruhan dari segi akademik dan juga kegiatan kokurikulum, berdasarkan pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level (BC-GCE) Oktober/November 2015.

Personaliti beliau yang rendah diri namun bersemangat sudah menjadikan beliau seorang warga PTE yang sangat popular dan dihormati dalam kalangan tutor-tutor dan rakan-rakan, walaupun hanya memasuki PTE Tutong bagi beberapa bulan sahaja. Awang Syafie juga telah mewakili bekas sekolah menengahnya dalam pelbagai pertandingan bola sepak di peringkat sekolah.

Sementara itu, ketua bagi MPP, Awang Azrin bin Haji Bolhassan berharap kumpulan baru pemimpin sekolah akan dapat menganjurkan apa-apa program sekolah dengan lebih baik dan berkesan di samping mengekalkan akhlak yang mulia dan etika kerja yang profesional.

“Ahli-ahli MPP dan PRR yang baru dipilih adalah juga diharap dapat diberikan kepercayaan untuk memimpin menerusi teladan yang baik, menggalakkan rakan-rakan mereka untuk bekerja keras dalam bidang akademik serta kecemerlangan dalam sukan dan khidmat masyarakat,” ujarnya.