Beri laporan palsu untuk menutup kecurangan

Beri laporan palsu untuk menutup kecurangan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160915_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Seorang pelayan restoran dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan memberi laporan palsu.

Norliza anak Gaffny, 20, mengaku bersalah memberi laporan palsu kepada pihak polis dengan mendakwa seorang lelaki telah mencabul kehormatannya.

Dia membuat laporan palsu itu untuk melindungi dirinya yang mempunyai ‘hubungan sulit’ bersama lelaki lain dari diketahui oleh suami dan keluarganya.

Perbuatan curang Norliza yang mempunyai hubungan sulit dengan tukang masak di sebuah restoran di Tuker Lines, Seria, tempat dia bekerja, terbongkar pada 3 Ogos 2016 apabila suaminya yang berada di kawasan letak kereta di luar restoran itu menyedari tertuduh berada di dalam kereta bersama seorang lelaki lain.

Suaminya yang marah kemudian menyuruh isterinya untuk keluar dari kereta sambil memukul kuat pintu kereta berkenaan.

Ketika tertuduh keluar dari kereta itu, lelaki berkenaan mengambil kesempatan untuk melarikan diri.

Takut perbuatannya diketahui, tertuduh kemudian mereka-reka cerita bahawa lelaki itu telah melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya, dan turut membuat laporan palsu kepada pihak polis.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman memerintahkan hukuman tertuduh dikuatkuasakan segera.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Hajah Zuraidah binti Haji Sidek.

ARTIKEL YANG SAMA