Beri maklum balas mengenai VIC

Beri maklum balas mengenai VIC

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Orang ramai adalah dialu-alukan untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai Cadangan Pengkomersilan Pusat Pemeriksaan Kenderaan (VIC), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan, dengan mengisi kertas konsultasi.

Pengarah Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Abdul Ladi memaklumkan bahawa kertas konsultasi berkenaan akan terdapat dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dengan versi Bahasa Melayu akan mula diedarkan pada 15 Oktober ini dan versi Bahasa Inggeris pada 19 Oktober, kedua-duanya melalui laman sesawang www.Itd.gov.bn atau dapatkannya di kaunter penyambut tetamu dan Pusat VIC di semua cawangan JPD dan premis stakeholder yang terpilih.

Semasa taklimat mengenainya di Ibu Pejabat JPD, Beribi hari ini, Dr. Haji Supry berkata kedua-dua versi kertas konsultasi berkenaan juga akan dikongsi melalui media sosial.

Orang ramai yang mengisi kertas konsultasi itu hendaklah memasukkan butir peribadi, syarikat dan alamat, manakala semua pandangan serta ulasan perlu dikemukakan secara bertulis dan dialamatkan kepada Pengarah JPD atau e-mel terus ke alamat supry.ladi@mincom.gov.bn atau fadzila.hamid@mincom.gov.bn.

Borang yang telah lengkap diisi juga boleh dikembalikan ke kaunter Penyambut Tetamu JPD di semua cawangan dan tarikh tutup penghantaran ialah pada 30 November 2015.

Dr. Haji Supry (tengah) bersama pegawai kanan JPD pada sidang media itu.
Dr. Haji Supry (tengah) bersama pegawai kanan JPD pada sidang media itu.

“Pandangan yang dikemukakan dalam kertas tersebut adalah pandangan awal JPD bagi tujuan konsultasi dan tidak semestinya menunjukkan dasar atau keputusan yang akan dibuat mengenai dengan perkara ini,” jelas Dr Haji Supry.

Tujuan kertas konsultasi ini adalah untuk mendapatkan maklum balas dan pendapat orang ramai, industri dan pihak berkenaan mengenai cadangan JPD ke arah pengkomersilan operasi VIC yang selama ini diselenggarakan dan dijalankan oleh JPD.

Dr. Haji Supry seterusnya menjelaskan pengkomersilan VIC adalah untuk memastikan pemeriksaan kenderaan di negara ini lebih berkesan dengan kadar berpatutan selaras dengan tahap perkhidmatan yang lebih efisien dan sistem pemeriksaan memenuhi piawaian antarabangsa yang menyumbang kepada pengurangan kemalangan jalan raya dan kesan pelepasan karbon dioksida.

Selain itu, tambah beliau, ia diharap dapat meningkatkan kapasiti pemeriksaan selaras dengan pertumbuhan bilangan kenderaan yang meningkat dari tahun ke tahun.

Berdasarkan statistik JPD, terdapat lebih 265,000 kenderaan yang aktif di jalan raya pada tahun 2013 dan jumlah ini meningkat kepada 7 hingga 8 peratus pada tahun 2014 iaitu sebanyak 285,000.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah JPD, Haji Johari bin Haji Abdul Karim serta penolong-penolong pengarah, Awang Ali bin Haji Matusin dan Haji Mohamad Esa bin Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA