Beri maklumat palsu, dipenjara 2 bulan

Beri maklumat palsu, dipenjara 2 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Gara-gara memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Awangku Nurasri bin Pengiran Haji Tajuddin, 30, yang berdepan pertuduhan memberi maklumat palsu kepada L/Cpl 4410 Bally bin Ladis dengan membuat laporan kehilangan sebuah kereta Nissan Almera di depan sebuah kedai runcit di Tutong.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 180 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau bersama denda yang boleh membawa sehingga $4,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan pemilik kereta itu bertemu di rumah tertuduh di Kampung Perpindahan Serasa bagi tujuan tukar milik kereta Nissan Almera pada 31 Mei 2015.

pg06_150820_mahkamah logo

Meskipun urusan tukar milik belum dapat diteruskan disebabkan oleh kertas kerja yang belum selesai, tertuduh terlebih dahulu telah menerima kunci kereta itu daripada pemiliknya.

Pada 15 Jun, pemilik kereta pergi ke rumah tertuduh untuk berbincang dengan urusan tukar milik tetapi tertuduh ketika itu tidak berada di rumah.

Keesokan harinya, pada pukul 12 tengah hari, pemilik kereta sekali lagi pergi ke rumah tertuduh untuk mengambil semula keretanya dan menunggu sehingga 1:30 petang.

Tertuduh yang tiba sekitar 1:30 petang bersama abangnya memberitahu pemilik kereta bahawa keretanya hilang di Daerah Tutong, dan akan membuat laporan polis.

Tertuduh membuat laporan polis pada 18 Jun 2015 di mana polis telah menjalankan siasatan.

Pada 17 Ogos 2015, polis menerima maklumat mengenai laporan yang dibuat tertuduh adalah palsu, dan pada hari yang sama, tertuduh ditangkap di rumahnya dan dibawa ke Balai Polis Muara untuk siasatan.

Tertuduh mengaku membuat laporan palsu dan memberitahu polis bahawa dia telah menyerahkan kereta itu kepada pihak ketiga yang menjualnya di Miri.

Tertuduh mengaku menerima komisen daripada pihak ketiga tersebut. Kereta tersebut sehingga kini belum ditemui.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.