Beri peluang anak ketengahkan hak

Beri peluang anak ketengahkan hak

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Dalam usaha meningkatkan kesedaran hak kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah mengadakan Forum Peningkatan Kesedaran dan Bengkel Konsultasi Kebangsaan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) yang berlangsung di StarLodge Hotel, di Jerudong, sini, hari ini.

Seramai 101 orang kanak-kanak dari keempat-empat daerah menghadiri bengkel berkenaan yang disokong sepenuhnya oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, dengan tujuannya antara lain untuk memberi peluang kepada kanak-kanak mengetengahkan hak-hak mereka untuk dikaji semula oleh pihak-pihak yang berwajib.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Duta Istimewa dan Mutlak AS ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig B. Allen.

Timbalan Yang Di-Pertua MKM, Dayang Nur Judy binti Abdullah semasa menyampaikan ucapannya berkata, Mac lalu pihak mereka telah menganjurkan projek perintis yang dihadiri seramai 30 orang kanak-kanak.

“Kami menemui bahawa banyak kekurangan kesedaran dan pengetahuan mengenai CRC dalam kalangan kanak-kanak di Brunei dan 99 peratus kanak-kanak dalam forum yang lalu berkata itu adalah kali pertama mereka mendengar mengenai CRC,” ujarnya.

Antara mereka yang hadir pada Forum Peningkatan Kesedaran dan Bengkel Konsultasi Kebangsaan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) yang berlangsung di Hotel StarLodge.
Antara mereka yang hadir pada Forum Peningkatan Kesedaran dan Bengkel Konsultasi Kebangsaan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) yang berlangsung di Hotel StarLodge.

pg06_151107_b

Sementara itu, TYT Craig pula berkata, anak-anak muda akan menghadapi pelbagai cabaran yang antaranya memutuskan cara terbaik untuk mempelbagaikan ekonomi, bagaimana untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Tenggara dan sebagainya.

“Jadi mengapa perlu belia Brunei, mengambil berat tentang CRC? Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan satu perjanjian antarabangsa yang mengiktiraf hak-hak asa-si kanak-kanak (18 tahun ke bawah),” ujarnya.

Menurut beliau, perjanjian ini menyediakan rangka kerja untuk membantu kerajaan memastikan anak-anak dan keluarga mempunyai hak-hak dan perlindungan tertentu, contohnya kanak-kanak hendaklah bebas daripada diskriminasi, dasar-dasar kerajaan perlu berdasarkan kepentingan terbaik kanak-kanak itu, kanak-kanak perlu terus hidup dan mencapai potensi penuh mereka, dan pandangan serta perspektif kanak-kanak adalah penting.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan prinsip-prinsip ini dan percaya bahawa kita perlu melakukan sebanyak mungkin agar kita boleh memastikan bahawa mereka dihormati di seluruh dunia,” tambah Tuan Yang Terutama.

Beliau seterusnya berkata, maklum balas daripada kanak-kanak ini adalah penting dan amat berharga, serta melahirkan harapan para peserta bengkel akan berseronok dan belajar sesuatu yang baru dalam membina kefahaman tentang CRC serta undang-undang antarabangsa.

“Saya berharap, melalui pengalaman ini, para peserta rasa berkuasa dan mendapat inspirasi untuk menjadi pemimpin masa depan yang membuat perubahan positif dalam komuniti di Negara Brunei Darussalam dan seluruh dunia,” katanya lagi.

Forum dan bengkel berkenaan dimulakan dengan gambaran keseluruhan mengenai CRC yang disampaikan oleh Pakar Kanan Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia, Phenny Kakama.

ARTIKEL YANG SAMA