Beri peluang juara Liga Super DST sertai Liga S

Beri peluang juara Liga Super DST sertai Liga S

PERSATUAN Bola sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) telah pun mengadakan Kongres pada 17 Oktober lalu. Satu langkah yang bijak, produktif dan berani bagi mencetus ilham dan mengungkayah bola sepak negara untuk lebih maju pada masa hadapan.

Saya sebagai salah seorang daripada berpuluh ribu peminat bola sepak negara, setia memerhatikan perkembangan dan kemajuan bola sepak di Brunei Darussalam sama ada pada peringkat daerah, kelab, kebangsaan, apatah lagi pada tahap serantau dan antarabangsa.

Saya maklum pada masa ini pasukan kelab profesional DPMM FC mewakili negara dalam Liga Singapura setiap tahun, dan pada Ogos 2016 nanti akan menyaksikan penyertaan julung kalinya wakil negara dalam Liga Super ASEAN (ASL).

Saya menyokong penuh hasrat DPMM FC untuk mewakili negara dalam kejohanan ASL atas persembahan mantap dan konsisten mereka yang dipamerkan setiap tahun.

Namun soalan saya, kelab manakah yang akan mewakili negara dalam Liga Singapura? Cadangan saya, berilah peluang kepada juara Liga Super DST tahun ini, iaitu MS ABDB untuk menerajui negara ke liga tersebut untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka bertanding dengan kelab-kelab Singapura dan Jepun bagi merebut kejuaraan yang dijangka bermula Februari 2016 nanti.

Biarkan DPMM FC menumpukan latihan dan perhatian terhadap kejohanan ASL sahaja. Diharap saranan saya akan diambil perhatian dan tindakan selanjutnya.

Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA