Beri peluang kepada pelabur asing

Beri peluang kepada pelabur asing

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Pelabur luar haruslah diberi peluang dan kemudahan untuk mengusahakan sesuatu industri dengan kerjasama sektor swasta di negara ini pada meningkatkan pendapatan negara selain daripada minyak dan gas.

Di samping itu, anak-anak tempatan yang berkebolehan serta mahir di dalam bidang masing-masing dapat bekerja untuk tenaga penggerak dalam industri tersebut.

Pendapat ini dinyatakan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abd Rauf selaku Penghulu Mukim Keriam, Daerah Tutong semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara.

Manakala itu, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim selaku Ketua Kampung Putat, Mukim Lumapas, Daerah Brunei dan Muara, pula menekankan bahawa titah Baginda Sultan agar terus berusaha mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak terus semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas, perlu diberikan perhatian dan keutamaan.

Tidak syak lagi, katanya, sektor swasta perlu diperkasakan, ini merangkumi pelbagai bidang seperti perindustrian, pertanian, perikanan, perladangan, perkhidmatan dan keusahawanan dan sebagainya.

Yang Berhormat Haji Jumat.
Yang Berhormat Haji Jumat.

pg08_160309_MMN-_Logo

Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Awang Haji Muhammad Taha.
Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Awang Haji Muhammad Taha.

“Kita berharap langkah-langkah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah dilaksanakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara seperti mempermudah mendapatkan lesen perniagaan termasuk melalui online dan beberapa jenis perniagaan tidak lagi memerlukan lesen setentunya akan mempermudahkan serta mendorong semangat rakyat di negara ini untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.”

Menurut Yang Berhormat lagi, pihak kerajaan akan terus merancang strategi sekali gus menyediakan dan meningkatkan persekitaran yang lebih kondusif baik daripada segi perundangan, peraturan, infrastruktur dan perkara-perkara lain yang diperlukan.

Ini setentunya bukan hanya akan dapat merangsang minat peniaga tempatan tetapi juga akan dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pada masa yang sama, para usahawan khasnya dan rakyat amnya perlu lebih proaktif, kreatif, inovatif dan produktif untuk merebut peluang-peluang yang telah disediakan itu.

Dalam mengembangkan bidang perniagaan ini, jelas Yang Berhormat lagi, terdapat satu perkara yang harus diberikan tumpuan iaitu penuntut lepasan dari institusi-institusi pengajian tinggi pendidikan profesional.

“Sejak beberapa dekad yang lampau kita telah mengeluarkan ribuan lulusan vokasional seperti kejuruteraan, mekanik kereta, mekanik pendingin udara, pendawaian elektrik, welding dan dandanan rambut, jahitan, masakan, pembuatan kek, teknologi maklumat termasuk lulusan kursus dari sekolah perdagangan dan lain-lain.”

Yang Berhormat melahirkan harapan agar mereka ini bergiat maju dalam bidang perniagaan dan akan dapat merubah lagi fikiran mereka untuk menjadi ‘business minded’ dan menyediakan keperluan kemudahan yang mereka perlukan.

“Sementara itu, kita melihat usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini telah menunjukkan peningkatan yang baik termasuk projek mega di Pulau Muara Besar yang akan dapat meningkatkan penghasilan negara dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak tempatan untuk mengatasi masalah pengangguran.”

Yang Berhormat juga berharap, usaha menarik FDI ini akan terus dikembangkan melalui strategi mapan untuk mampu bersaing dengan negara-negara jiran dan serantau.

“Selain sumber alam, kita memiliki sebuah negara Melayu Islam Beraja yang aman, makmur dan sejahtera termasuk produk jenama halal Brunei yang sedang kita kembangkan. Seperti yang kita ketahui ramai pengusaha luar negara yang berminat dengan jenama halal Brunei. Peluang ini perlulah direbut dan dimanfaatkan melalui strategi yang lebih efektif,” ujarnya.

Di samping itu juga, tambah beliau, produk-produk tempatan yang dihasilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk produk majlis perundingan kampung (MPK) telah pun meningkat dan berkembang di seluruh negara.

“Kita haruslah berusaha untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti bagi menembusi pasaran ataupun eksport ke luar negara bagi menyahut kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.”

Dalam hal ini, Yang Berhormat mencadangkan supaya sebuah mekanisme termasuklah strategi untuk memasarkan produk-produk tersebut ke luar negara harus diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA